suria

Guna Dakwat Kekal Bukan Langkah Ke Belakang

KUALA LUMPUR: Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya akan datang bukan bermakna negara ini melangkah ke belakang seperti negara kurang membangun, kata Setiausaha Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Syed Ali Al-Habshee.

Beliau berkata langkah itu bertujuan mengelak berlakunya penipuan semasa proses mengundi, umpamanya perbuatan mengundi lebih daripada sekali.

"Tidak ada alasan untuk menakutkan pengundi Melayu kerana cecair dakwat tersebut dipercayai tidak memberi kesan kepada kesihatan. Malah penggunaan dakwat kekal itu juga difahamkan tidak menimbulkan keraguan dari segi hukum syarak," katanya dalam laman blog Umnocheras hari ini.

Syed Ali, yang juga Ketua Umno Bahagian Cheras, berharap semua pihak menerima keputusan SPR itu dengan positif dan tidak menimbulkan persepsi yang boleh memberi kesan buruk kepada keputusan pilihan raya umum akan datang.

"Tidak ada asas mengapa penggunaan dakwat kekal ini perlu ditentang dan diprovokasikan sebagai punca pengundi Melayu tidak akan keluar mengundi," katanya.

Syed Ali berkata dakwaan kononnya penggunaan dakwat kekal itu akan menyebabkan pengundi Melayu tidak akan keluar mengundi merupakan strategi pihak tertentu untuk mengurangkan majoriti pengundi Melayu pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata langkah SPR memperkenalkan penggunaan dakwat kekal itu sejajar dengan syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memperkenalkan pembaharuan dalam proses pilihan raya di negara ini.

Syed Ali juga mengingatkan semua pemimpin dan anggota Umno supaya tidak mudah lupa kepada sumpah taat setia atau bai'ah yang mereka lakukan semasa perhimpunan agung parti baru-baru ini.

Katanya mereka harus buktikan sumpah ikrar tersebut sentiasa dipatuhi termasuk daripada segi tingkah laku dan pekerti jika benar-benar sayangkan parti.

"Bai'ah sudah dibuat yang diketuai Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, jadi saya harap mereka tunaikan janji tersebut supaya Umno dihormati.

"Kita tidak mahu ada yang kata sumpah ikrar sayangkan parti yang dibuat oleh pemimpin dan anggota hanya dilakukan setahun sekali atau sekadar acara tahunan.

"Implikasinya Umno akan dicemuh dan akhirnya timbul persespsi umum kononnya perjuangan Umno tidak telus manakala cakap-cakap pemimpinnya pula dianggap sebagai retorik," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain