Pemuda Sakit Mental Hilang Semasa Bantu Bapa Berniaga - Semasa | mStar

Pemuda Sakit Mental Hilang Semasa Bantu Bapa Berniaga

SUNGAI PETANI: Seorang pemuda yang menghidap sakit mental dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu semasa menolong bapanya berniaga di hadapan sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Mohd Zulfahmee Abd Hamid, 25, dipercayai hilang bersama kereta Proton Saga berwarna putih milik bapanya pada pukul 4 petang Sabtu lalu.

Bapanya ketika itu dikatakan meninggalkan gerai tersebut untuk ke tandas.

Abangnya Mohd Faizal tidak menolak kemungkinan adiknya yang tidak memiliki lesen memandu telah memandu kereta tersebut untuk pulang ke Sungai Petani tetapi dikhuatiri telah sesat jalan.

"Berdasarkan apa yang ayah saya cerita, pada pagi hari kejadian Zulfahmee ada bertanyakan ayah saya sama ada kereta itu boleh sampai (dipandu) hingga ke Sungai Petani.

"Namun ayah saya tidak mengesyaki apa-apa dengan pertanyaan itu," katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Faizal berkata bapanya telah membuat laporan polis berhubung kehilangan Mohd Zulfahmee di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur Ahad lalu.

Katanya kali ini sudah dua kali adiknya hilang dengan kes pertama berlaku tiga bulan lalu apabila dia memandu berseorangan hingga ke Bukit Selambau dekat sini.

Beliau berkata adiknya perlu kerap mengambil ubat dan jika tidak berbuat demikian, dia akan hilang ingatan dan tidak boleh berfikir dengan waras.

Mohd Faizal berkata adiknya berkeadaan begitu dipercayai ekoran mengalami tekanan perasaan ketika sedang membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2003.

Beliau merayu kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang adiknya supaya menghubunginya di talian 012-5871677 atau bapanya Abd Hamid Lah di talian 019-3788081. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Pemilik Hotel Resah MAS Henti Beberapa Laluan

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain