suria

Lebih 470,000 Komputer Riba 1Malaysia Telah Diagih Kepada Pelajar Sekolah

KUALA LUMPUR: Sebanyak 472,900 unit komputer riba 1Malaysia yang melibatkan perbelanjaan berjumlah RM470 juta telah berjaya diagihkan kepada pelajar sekolah seluruh negara di bawah fasa satu dan dua program tersebut.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum berkata jumlah keseluruhan komputer riba yang diperuntukkan melalui program ini adalah sebanyak satu juta unit.

"Berdasarkan anggaran kiraan yang dibuat, inisiatif ini akan menyumbang kepada 15 peratus penembusan jalur lebar negara," katanya semasa menjawab soalan Senator Pau Chiong Ung pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Pai ingin tahu mengenai jumlah perbelanjaan dan bilangan komputer riba 1Malaysia yang telah diagihkan kepada pelajar sekolah.

Menjawab soalan tambahan Pau mengenai tahap kualiti komputer riba di bawah program ini, Salang berkata semua pembekal perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Walaupun kebanyakan komputer riba di bawah program ini terdiri daripada pelbagai jenama yang kurang terkenal tetapi kesemuanya telah menjalani ujian ketat oleh SKMM bagi menjamin kualitinya.

"Syarikat yang berjaya dalam pembidaan untuk membekal komputer riba ini juga perlu menyediakan pusat servis di setiap lokasi yang terlibat dengan program ini bagi menangani sebarang masalah penyelenggaraan komputer," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain