suria

Dua Sahabat Karib Dihukum Gantung Edar Methamphetamine

KOTA BAHARU: Mahkamah Tinggi di sini Isnin, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua sahabat karib selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine pada Februari tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hazlani Che Hussin dan Mohd Azlan Mat Nor yang kedua-duanya berumur 20 tahun selepas disabitkan kesalahan mengedar 23.11 gram dadah itu.

"Walaupun tertuduh pertama (Mohd Hazlani) hanya muncul sekali, namun ia menunjukkan niat bersama kerana datang selepas tertuduh kedua menghubunginya. Hanya ada satu hukuman untuk kesalahan ini iaitu hukuman gantung sampai mati," katanya ketika membuat penghakiman itu.

Mohd Hazlani dan Mohd Azlan yang masing-masing berasal dari Pasir Mas didakwa melakukan kesalahan itu di depan pintu gerbang Masjid Beijing, di Rantau Panjang, pada pukul 2 petang, 3 Februari 2010.

Kedua-dua sahabat itu dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sebaik Azman menjatuhkan hukuman itu, kedua-dua tertuduh hanya saling berpandangan di dalam kandang tertuduh sebelum dibawa keluar dari bilik mahkamah.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Sukri Mohamed. Sukri ketika membuat rayuan bagi pihak anak guamnya berkata, ketika ditangkap kedua-dua tertuduh masih remaja dan masih belum berkahwin.

Katanya, tertuduh pertama ketika itu adalah penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam, manakala rakannya sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). -BERNAMA

Artikel Lain