suria

Boeing 787 Dreamliner Catat Rekod Jarak & Kelajuan

KUALA LUMPUR: Boeing mencatatkan dua rekod dunia dengan Dreamliner 787, menetapkan tanda baru bagi kelajuan dan jarak bagi kelas berat pesawat.

"Kelajuan dan keupayaan jarak adalah asas kepada nilai yang dibawa 787 kepada pasaran," kata Naib Presiden dan Pengurus Besar program 787, Scott Fancher.

Rekod ini katanya adalah cara yang baik untuk menunjukkan bahawa pesawat ini merupakan perubahan sebagaimana yang dijanjikan.

Boeing 787-8 Dreamliner merupakan kapal terbang yang pertama menyediakan keupayaan jarak dengan kapasiti sederhana (210-250 penumpang dalam susunan tempat duduk tiga kelas), membolehkan syarikat penerbangan membuka laluan baru, tanpa henti yang menjadi pilihan orang ramai.

Pesawat tersebut 20 peratus lebih cekap dalam bahan api daripada pesawat yang sama saiz, kata Boeing dalam satu kenyataan hari ini.

Pesawat keenam 787, ZA006, dikuasai enjin GEnx enjin General Electric, bertolak dari Boeing Field di Seattle pada 11:02 pagi pada 6 Disember dan menetapkan rekod jarak untuk kelasnya (440,000-550,000 lbs) dengan penerbangan 10,710 nmi (19,835 km) ke Dhaka, Bangladesh, dengan kredit bagi 10,337 nmi (19,144 km).

Rekod ini sebelum ini dipegang oleh Airbus A330 yang berdasarkan 9,127 nmi (16,903 km) penerbangan pada 2002.

Susulan berhenti kira-kira dua jam untuk mengisi bahan bakar di Dhaka, pesawat kembali ke Seattle pada penerbangan 9,734 nmi (18,027 km).

Pesawat mendarat pada 05:29 pagi pada 8 Disember, menetapkan rekod kelajuan yang baru untuk keliling dunia (arah timur), dengan jumlah masa perjalanan 42 jam dan 27 minit.

Tiada rekod kelajuan keliling dunia untuk kelas berat ini sebelum ini. -BERNAMA

Artikel Lain