suria

Tidak Ada Rancangan Bina Kem Baru:Ahmad Zahid

LANGKAWI: Kerajaan hanya akan membina kem-kem baru di atas keperluan strategik dan bukan kerana adanya program pembesaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata buat masa sekarang, tidak ada kem-kem baru yang akan dibina tetapi Kementerian Pertahanan telah memohon peruntukan RM500 juta untuk membaik pulih rumah-rumah anggota tentera yang uzur di lebih 100 buah kem tentera.

"Tidak ada rancangan untuk buat kem baru kerana pada hemat kerajaan kem-kem yang sedia ada sudah mencukupi, tapi di masa akan datang jika keperluan mungkin bertambah atas sebab strategik," katanya kepada Bernama selepas merasmikan perumahan baru anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di pengkalan TLDM Markas Wilayah 3, Bukit Malut, Langkawi.

Menurutnya pembinaan kem-kem di kawasan strategik tidak ada kaitan dengan penambahan anggota tentera kerana kerajaan mahu menjimatkan kos.

Sebaliknya, kerajaan mahu membesarkan keanggotaan dalam pasukan askar simpanan kepada satu anggota Wataniah untuk setiap anggota tetap menjelang 2025, katanya.

Artikel Lain