suria

MB Mahu Nama Pemegang Lesen Niaga Yang Sewa Premis Kepada Warga Asing Disiarkan

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bercadang menyiarkan nama-nama pemegang lesen perniagaan di negeri ini sebagai langkah membanteras atau mengurangkan amalan menyewakan premis mereka kepada warga asing.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim percaya langkah itu akan menghapuskan budaya menyewakan premis perniagaan di kalangan pemegang lesen dan memastikan hanya pemegang yang sah sahaja yang menjalankan perniagaan.

"Langkah menyiarkan nama juga akan membolehkan orang ramai membuat aduan terhadap mana-mana syarikat jika mereka didapati mengurus atau menjalankan perniagaan selain daripada pemilik atau pemegang saham yang sah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program "Selangor Medicare" di Taman Rakyat, Kampung Jalan Kebun dekat sini, Sabtu.

"Di bawah peraturan pihak berkuasa tempatan, pemilik sah premis perniagaan hendaklah menjalankan perniagaan mereka sekurang-kurangnya 35 jam seminggu bagi membolehkan lesen mereka diperbaharui setiap tahun," tambah beliau.

Khalid bagaimanapun berkata, kerajaan negeri akan memberikan amaran kepada mereka yang didapati menyewakan premis mereka kepada warga asing dan menyiarkan nama, adalah sebagai langkah terakhir.

Sementara itu Pengarah urusan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), Suhaimi Kamaralzaman berkata syarikat itu menyumbang sebuah van dan kenderaan pacuan empat roda benilai RM200,000 kepada Biro Kesihatan Pergerakan Belia Islam Malaysia untuk digunakan dalam khidmat penjagaan kesihatan yang lebih baik kepada mereka yang memerlukan khasnya di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, sumbangan van dan pacuan empat roda itu sebagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikatnya untuk mengangkut barangan dan klinik bergerak perubatan serta anggota bagi membantu mangsa bencana alam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain