suria

Letupan Gas Di Maju Junction Disebabkan Penyelenggaraan Tidak Betul - Bomba

IPOH: Kejadian letupan gas di sebuah restoran di pusat beli-belah Maju Junction, Kuala Lumpur dua hari lalu dipercayai ada kaitan dengan sistem penyelenggaraan yang tidak betul, kata Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Katanya, pemilik restoran atau bangunan yang mengunakan sistem pemasangan saluran gas perlu meningkatkan penyelenggaraan standard yang lebih tinggi bagi mengelak kes kebocoran gas yang membawa kejadian letupan.

"Langkah itu perlu bagi keselamatan kerana ia berbeza dengan mengunakan tong gas biasa, kerana saluran boleh bocor bila-bila masa kalau tidak diselenggara secara berterusan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian seminar 'Reka Bentuk Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran' di sini, Selasa.

Beliau mengulas berhubung kejadian letupan gas di sebuah restoran Noodle Station di pusat beli-belah Maju Juntion di Kuala Lumpur dua hari lepas.

Mohd Nor berkata, siasatan tentang punca kejadian dijalankan oleh Gas Malaysia Berhad dan Suruhanjaya Tenaga selain bomba turut membantu.

Sementara itu beliau berkata, sepanjang enam bulan pertama tahun ini sebanyak RM371 juta harta benda musnah dalam kebakaran dengan mengakibatkan 42 kematian.

"Ini bermakna masih banyak yang perlu dilakukan dan pihaknya memerlukan kerjasama semua pihak untuk memastikan trend penurunan kerugian akibat kebakaran," katanya.

Beliau menambah, kebakaran biasanya berlaku akibat kecuaian berpunca daripada sikap tidak mengamalkan amalan yang baik seperti yang disyorkan oleh pihak berkuasa.

Selain itu, pihaknya juga akan mempergiatkan usaha-usaha penguatkuasaan undang-undang bagi menentukan keselamatan orang ramai terjamin khususnya di premis-premis awam.

Tahun lepas, sebanyak 11,831 premis telah diperiksa dan mencatatkan sebanyak 8,473 kesalahan dilakukan kerana premis berkenaan tidak mengikut peraturan, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

1,967 Mangsa Banjir Di Kelantan

Artikel Lain