suria

Mencari Cahaya Di Sri Lanka

SRI LANKA merupakan sebuah negara yang baru terlepas dari perang saudara yang berabad lamanya. Pulau ini majoritinya terdiri dari bangsa Sinhala dan bangsa Tamil. Walaupun kedudukannya berhampiran dengan India, namun hampir 80% penduduknya beragama Buddha.

Menjejakkan kaki ke Sri Lanka, merupakan satu pengalaman baru bagi diri saya. Walaupun raut wajah penduduk Sri Lanka hampir seiras dengan warga India mahupun Bangladesh, namun perwatakan mereka amat berbeza sama sekali.

Mungkin disebabkan oleh impak peperangan yang berpanjangan menyebabkan mereka begitu kasar dalam segala urusan seharian mereka. Salah satu contoh yang dapat saya berikan ialah cara pemanduan mereka.

Sepanjang perjalanan saya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike ke pusat bandar Colombo, tak putus-putus saya memejamkan mata, mengucap dan beristikfar.

Setiap kali mata dibuka seolah-olah terdapatnya kereta akan merempuh dari arah depan, kiri mahupun kanan.

Cara mereka memandu amat berbahaya dan menakutkan. Seolah-olah tidak ada langsung peraturan jalan raya. Malah pejalan kaki juga terpaksa mengalah dengan mereka.

Jika anda pernah ke Bangkok dan anda juga pernah ke Jakarta, anda akan mengatakan keadaan pemanduan mereka amat dahsyat tetapi sebenarnya tidak dahsyat mana pun berbanding di Sri Lanka.

Kepada mereka yang ingin merempit, mungkin terlebih dahulu wajar berkunjung ke Sri Lanka terutamanya ketika waktu puncak.

Manalah tahu dengan menimba pengalaman di sini anda boleh menjadi seorang pemandu yang benar-benar hebat. Kesimpulannya, siapa sahaja yang lulus memandu di sini tanpa terlibat dalam sebarang kemalangan, pasti boleh memandu di mana-mana litar di seluruh dunia.

MISI

Kedatangan saya kali ini bukan disebabkan bercuti. Saya telah dijemput oleh Darul Al-Quran Al-Kareem Sri Lanka. Ia adalah satu institusi pengajian tahfiz yang kini berkembang pesat hinggakan mempunyai 130 pusat pengajian dan lebih dari 4,000 orang pelajar semasa.

Perkembangan positif terhadap penerimaan Islam sebagai satu ikutan keagamaan cukup memberangsangkan di sini. Di mana-mana sahaja anda pergi, anda tidak perlu risau tentang makanan halal.

Ada sahaja gerai yang menyediakannya. Jika tidak pasti, anda boleh bertanya, pasti ada yang berhampiran.

Masjid juga boleh dikatakan ada di merata ceruk. Bacaan-bacaan dalam solat oleh para iman di sini juga cukup fasih, seolah-olah bacaan orang Arab.

Yang menariknya, terdapat sebuah masjid yang terletak betul-betul di tepi istana presiden. Sudah pasti, beliau dapat mendengar azan setiap kali masuk waktu solat.

TUBUH DARUL ULUM

Kehadiran saya di sini cukup diraikan, sehinggakan mendapat liputan siaran televisyen tempatan. Saya juga dibawa ke beberapa acara rasmi dan diminta berucap di setiap tempat.

Setiap tempat yang saya singgah, nyata mereka dahagakan ilmu. Penduduk Islam di sini perlukan banyak bimbingan dan dorongan. Semangat mereka jitu, namun semangat tanpa ilmu boleh membawa kepada kesesatan.

Atas kerisauan ini, saya dan beberapa rakan menubuhkan Darul Ulum International Foundation, sebuah organisasi antarabangsa berpusat di Colombo. Tujuan utama penubuhannya adalah untuk mewujudkan sebuah sekolah agama bertaraf empat bintang.

Maksud empat bintang ialah tahap fizikal institusi ini hendaklah sama hebatnya dengan hotel bertaraf empat bintang juga.

Sekolah berlandaskan agama begitu bercambah di serata dunia, namun jarang mendapat penghormatan yang sewajarnya. Ini adalah disebabkan keadaan infrastrukturnya yang amat menyedihkan.

SUASANA KONDUSIF

Ramai cendekiawan menitik beratkan ilmu, tetapi pada masa yang sama mengabaikan suasana kondusif yang diperlukan untuk sebuah institusi. Ini belum lagi kalau dilihat akan keadaan asrama, apatah lagi tandas mereka.

Bertitik tolak dari situasi ini, saya menggariskan pendidikan keagamaan harus bergerak seiring dengan penampilan yang sempurna.

Penampilan luaran serta dalaman hendaklah dipertingkatkan, agar kita dapat menghasilkan para ilmuan yang memiliki sahsiah peribadi yang tinggi.

Kita bukan sahaja hendak menghasilkan seorang hafiz, tetapi hafiz yang profesional, hafiz yang tidak meninggalkan duniawi untuk mengejar ukrawi. Ini yang diidamkan.

Saya mengharapkan agar cita-cita serta matlamat ini tercapai. Biar kita mulakan di sini. Tempat di mana legenda Nabi Adam mula bertapak di dunia. Agar cahaya yang dicari dapat menyuluhi umat Islam di SRI LANKA.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan bekas Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monash University. Beliau merupakan pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia. Beliau boleh dihubungi menerusi email [email protected].

Artikel Sebelum

YDP Sarawak Dilantik Semula

Artikel Berikut

Artikel Lain