suria

Pendakwa Tarik Balik Rayuan Pembebasan Bekas Pegawai Kanan Telekom

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes rasuah bekas Ketua Pegawai Operasi Service Co. Telekom Malaysia Berhad, Datuk Ibrahim Mohd Nasir pada Khamis, menarik balik permohonan rayuan terhadap pelepasan dan pembebasannya di Mahkamah Tinggi.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan itu dengan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nor Azah Kasran dan peguam Jadadish Chandra yang mewakili Ibrahim.

Pada 1 April 2008 pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Ibrahim tanpa dipanggil membela diri.

Mahkamah Sesyen membuat keputusan itu pada 27 Mac 2008.

Ibrahim, 63, di dakwa atas tuduhan pindaan menerima rasuah berupa tiga keping tiket penerbangan MAS pergi balik Kuala Lumpur-London-Kuala Lumpur bagi dirinya, isteri dan anaknya yang bernilai RM37,806.

Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh Ibrahim antara 24 Julai dan 1 Ogos 2001 di Tingkat 2, Wisma Telekom, Jalan Pantai Baru, di sini.

Ibrahim juga didakwa atas satu lagi pertuduhan pindaan iaitu sebagai penjawat awam menerima rasuah yang sama pada 24 Julai 2001 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 18 orang saksi. - BERNAMA

Artikel Lain