suria

Petronas Diminta Beri Penjelasan Terperinci Rasional Penyaluran Gas Dari SOGT Ke Bintulu

KOTA KINABALU: Petronas pada Rabu, diminta memberi penjelasan terperinci dan telus berhubung rasional di sebalik keputusannya menghantar dan menyalurkan gas dari Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) ke Kompleks Cecair Gas Asli (LNG) Petronas di Bintulu, Sarawak.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail berkata penjelasan itu penting bagi melenyapkan kekeliruan berhubung pelaksanaan projek itu.

"Mungkin ada segelintir pihak memahami rasionalnya, namun saya bimbang golongan majoriti yang tidak memahaminya dan kita tidak mahu ada pihak-pihak tertentu yang cuba mengeksploitasi isu itu untuk tujuan tertentu, katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2012 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini.

Abdul Rahim turut merayu kerajaan negeri supaya menubuhkan satu Jawatankuasa Khas dengan peranan tertumpu kepada menangani perkara atau isu berkaitan industri minyak dan gas di negeri ini.

"Badan ini hendaklah dianggotai oleh para pemain industri minyak dan gas, sama ada kerajaan mahu pun swasta," katanya.

Katanya badan itu juga boleh bertindak untuk mewakili, menjaga dan memperjuangkan kepentingan Sabah dalam hal yang berkaitan dengan pembangunan industri minyak dan gas di negeri ini.

Abdul Rahim berkata badan khas itu perlu berkeupayaan menjadi penasihat dan perunding yang mempunyai kepakaran mengenai hal-hal berkaitan industri minyak dan gas, sekali gus menjaga kepentingan Sabah.

Beliau berkata penemuan baru minyak 100km di luar pantai barat laut Kota Kinabalu oleh Petronas bakal memperkukuhkan pengeluaran huluan sekali gus menggalakkan pembangunan kegiatan hiliran minyak dan gas di negeri ini.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri itu turut menjangka bahawa penemuan baru itu akan membolehkan jangka hayat pengeluaran minyak dan gas di Sabah akan meningkat, yang akan menyaksikan negeri itu menjadi pemain penting dalam industri minyak dan gas di negara ini bagi dekad yang mendatang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Artikel Berikut

Artikel Lain