suria

Malaysia Sertai Tahun Koperasi Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Malaysia bersama negara anggota Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) seperti Switzerland, Jepun, Iran, Kanada dan Brazil akan melancarkan tahun 2012 sebagai Tahun Koperasi Antarabangsa.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Md Yusof Samsudin berkata persetujuan tersebut diambil selepas Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytihar 2012 sebagai Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) pada Oktober lepas bertemakan 'Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat'.

"IYC memberi peluang kepada koperasi seluruh dunia untuk sama-sama meningkatkan kesedaran umum tentang cara menjalankan perniagaan melalui koperasi yang mengutamakan pengguna daripada keuntungan semata-mata," katanya dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini.

ICA ditubuhkan pada 1895 merupakan badan bukan kerajaan(NGO) terbesar yang bertanggungjawab dalam menyatu dan memberi khidmat nasihat kepada 93 negara anggotanya.

Md Yusof berkata Malaysia akan membuka tirai sambutan dengan majlis pelancaran IYC oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Taman Tasik Permaisuri pada 26 November ini.

Dengan sasaran lebih 10,000 pengunjung pada majlis itu, antara program yang disusun ialah larian jogathon, pameran serta jualan produk koperasi, pertandingan memancing, semanrobik dan 'street soccer'.

Selain itu, katanya, SKM sebagai pengerusi sambutan IYC, akan menganjurkan Seminar Antarabangsa bagi Rantau Asia Pasifik, Persidangan Menteri-Menteri Koperasi ASEAN, Hari Koperasi Negara, Konvensyen Antarabangsa Koperasi Sekolah dan Hari Antarabangsa Wanita Luar Bandar.

Ekspo Koperasi akan diadakan pada November tahun depan sebagai menutup tirai sambutan IYC itu, katanya.

"Pada acara penutup itu akan diwar-warkan pencapaian hasil dari program yang diadakan di sepanjang tahun serta impaknya kepada gerakan koperasi dan pembangunan negara," katanya.

Md Yusof juga menjangkakan perolehan keuntungan koperasi lebih RM22.8 bilion melalui sasaran penubuhan 10,000 badan koperasi menjelang akhir tahun depan.

Beliau berkata sehingga Jun tahun ini, lebih 8,900 badan koperasi sedia ada memperoleh keuntungan sebanyak RM21.8 bilion.

"Koperasi merupakan satu bentuk perniagaan yang terlibat dalam semua sektor ekonomi dan terdapat 300 koperasi besar di dunia mempunyai jumlah urus niaga bernilai USD$1 trilion," katanya.

Sebanyak satu bilion penduduk dunia terlibat dalam koperasi, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiada Desakan Sesiapa - Tsu Koon

Artikel Lain