suria

Polis Jamin Siasatan Program Seksualiti Merdeka Dibuat Secepat Mungkin

KOTA BHARU: Polis memberi jaminan siasatan terhadap program Seksualiti Merdeka 2011 dilakukan secepat mungkin dengan ia kini dalam proses memanggil beberapa lagi saksi untuk memberi keterangan.

"Siasatan belum selesai. Siasatan ini akan dibuat secepat yang mungkin dan kami akan menyemak senarai nama yang akan dipanggil itu sama ada membabitkan VIP yang lain," kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar di sini, Sabtu. Sebelum ini, polis mengambil keterangan 50 individu termasuk penganjur, penyokong dan peserta program berkenaan. Mereka yang memberi keterangan ialah bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga serta aktivis wanita, Maria Chin Abdullah dan Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez.

Pada 3 November lalu, polis mengharamkan Seksualiti Merdeka 2011, program yang antara lain mendesak hak sama rata untuk golongan homoseksual dan transeksual seperti gay, lesbian, biseksual, interseks dan transgender. - BERNAMA

Artikel Lain