suria

20 Kes Ulat Tiket Didakwa Di Mahkamah - SPAD

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 kes 'ulat tiket' yang dilaporkan sejak September lepas telah dibawa ke mahkamah dengan hukuman denda antara RM3,000 hingga RM8,000 dikenakan ke atas mereka yang sabit kesalahan. Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Beliau berkata SPAD menjalankan lebih 4,000 pemeriksaan ke atas kenderaan pengangkutan awam darat dan operasi ke atas kegiatan ulat tiket bulan lepas. "Sehubungan itu, SPAD telah mengeluarkan lebih daripada 50 notis penyiasatan ke atas pengendali pengangkutan awam darat dan mereka yang terlibat dalam kegiatan ulat tiket," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Nur Ismal berkata pihak yang dikenakan notis wajib datang ke pejabat SPAD untuk memberi penjelasan dalam tempoh 10 hari.

Pendakwaan akan dibuat sekiranya terdapat bukti yang mengaitkan pihak berkenaan dengan kegiatan ulat tiket atau kesalahan berhubung kenderaan pengangkutan awam darat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain