suria

Adinda Sultan Kelantan Fail Saman terhadap Malay Mail

KUALA LUMPUR: Adinda Sultan Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra pada Jumaat memfailkan saman fitnah berjumlah RM50 juta terhadap akhbar Malay Mail dan tiga lagi berhubung satu artikel yang mengaitkan beliau dengan kes tembakan terhadap pengawal istana Ramli Mohamed.

Tengku Muhammad Fakhry memfailkan writ saman itu menerusi Tetuan A S Dhaliwal di Mahkamah Tinggi di sini.

Beliau menamakan akhbar Malay Mail Sdn Bhd sebagai defendan pertama, syarikat pencetak The New Straits Times Press (M) Bhd, Ketua Editor Yushaimi Maulud Yahya dan wartawan Marhalim Abbas sebagai defendan kedua hingga keempat.

Menerusi pernyataan tuntutan, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa kesemua defendan bertanggungjawab menerbitkan satu artikel dalam Malay Mail Online News Portal pada 5 Mei, 2010, sehingga menjejaskan reputasi, jawatan dan kerjayanya.

Beliau mendakwa artikel tersebut memberi gambaran seolah-olah beliau tidak berprinsip, tidak boleh dipercayai, penjenayah dan pengkhianat.

Kenyataan itu menyebut berikutan artikel itu, Tengku Muhammad Fakhry dilucutkan gelaran Temenggong, dicaci dan dipandang rendah oleh masyarakat.

Tengku Muhammad Fakhry mendakwa akibat berita palsu itu juga hubungan dengan bondanya Raja Perempuan Kelantan menjadi renggang, dan ia hanya pulih selepas Mahkamah Koroner memberi keputusan terbuka mengenai kejadian tembakan tersebut dan dirinya tidak didakwa oleh pihak polis.

Selain ganti rugi berjumlah RM50 juta, beliau menuntut akhbar terbabit menerbitkan permohonan maaf, suatu injunksi supaya tidak mengulangi artikel terbabit, ganti rugi teladan dan kos.

Ketika ditemui pemberita selepas memfailkan permohonan tersebut, Tengku Muhammad Fakhry berharap kebenaran akan terserlah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain