suria

Kontraktor Mengaku Tidak Bersalah Tuang Air Ke Atas Ketua Biro MCA

BANTING: Seorang kontraktor berusia 60 tahun mengaku tidak bersalah pada Selasa, atas tuduhan melakukan perbuatan aib dengan mencurah air dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada Ketua Biro Pendidikan MCA, Ng Siok Hwa, dua minggu lalu.

Tertuduh, Hong Lay Seng juga memberikan pengakuan yang sama terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan dengan menggunakan tangan terhadap Ng yang juga pembantu pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Datok, serta pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Pengakuan tersebut direkodkan di hadapan Majistret Hurman Hussain dan tertuduh yang tidak diwakili peguam mendakwa semua kesalahan itu dilakukan dalam keadaan tidak sengaja.

Kenyataan tersebut menyebabkan Hurman menyoal tertuduh dengan lebih lanjut untuk mengetahui maksud tertuduh berkata demikian.

"Bagaimana awak dengan secara tidak sengaja boleh mencurah air kepada seorang wanita? Secara tidak sengaja menuturkan kata-kata lucah? Bagaimana dengan tidak sengaja awak boleh menghalang pihak polis daripada menahan awak?," soal Hurman.

Tertuduh kemudiannya menjawab, kesalahan itu dilakukan semasa dia dipengaruhi oleh minuman keras.

Hong didakwa melakukan semua perbuatan itu terhadap Ng, 48, pada pukul 9 malam, 24 Oktober lalu di Tokong Hua Kwang, nombor 39, Jalan Intan, Taman Yayasan, Sungai Jarum, di sini.

Hong juga didakwa atas tuduhan menghalang penjawat awam yang diketuai oleh Cif Inspektor Lasappie Lamide yang cuba untuk menahannya pada pukul 10.45 malam, hari yang sama di hadapan rumah nombor 83, JalanMelati 6, Taman Melati, di sini.

Hurman menetapkan sebutan semula kes pada 14 Disember depan untuk tertuduh yang dibebaskan dengan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin melantik peguam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain