suria

Tiada 'Orang Dalam' Di KDN Jamin Kelulusan Pemutihan PATI - Mahmood

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyiasat maklumat mengenai kegiatan individu tertentu yang mendakwa mempunyai hubungan dengan 'orang dalam' kementerian itu untuk menjamin kelulusan pemutihan pekerja asing tanpa izin (PATI) tanpa perlu berurusan dengan agensi kawal selia di pusat pemutihan Program 6P.

Ketua Setiausaha kementerian Tan Sri Mahmood Adam berkata mengikut maklumat yang diterima, beberapa majikan mendakwa dihubungi individu berkenaan dan ditawarkan khidmat jaminan pemutihan PATI dengan bayaran RM350 seorang tanpa memerlukan mereka hadir ke pusat pemutihan di ibu pejabat Jabatan Imigresen di sini.

Mahmood berkata KDN menafikan segala kebarangkalian berkaitan tawaran itu kerana kelulusan pemutihan Program 6P tidak hanya membabitkan KDN semata-mata tetapi turut melibatkan beberapa kementerian dan agensi lain.

"Antara kementerian dan agensi terlibat adalah Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Kesihatan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK); Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Jabatan Tenaga Kerja," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, menerusi khidmat yang ditawarkan itu majikan dikatakan tidak perlu ditemuduga, sedangkan itu adalah prosedur wajib yang ditetapkan sebelum surat kelulusan bagi pemutihan PATI boleh dikeluarkan.

"Majikan diingatkan supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan sebarang tawaran daripada mana-mana individu yang tampil mengaku mempunyai kenalan 'orang dalam' di KDN dan diminta membuat laporan polis jika mempunyai maklumat mengenai aktiviti itu," kata beliau.

Katanya majikan yang enggan datang berurusan di pusat pemutihan boleh memilih menggunakan khidmat syarikat pengurus yang dilantik kerajaan dan hanya hadir untuk urusan tertentu yang boleh ditetapkan menerusi temu janji.

Beliau berkata mereka perlu menyegerakan urusan itu dan tidak menunggu sehingga saat akhir iaitu pada awal Januari depan.

Dalam perkembangan lain, Mahmood berkata beliau mempengerusikan satu mesyuarat melibatkan semua agensi kawal selia proses pemutihan pada Rabu lepas membincangkan segala permasalahan yang menyebabkan kelewatan pemprosesan kelulusan pemutihan.

Susulan daripada mesyuarat itu, Mahmood berkata MITI memaklumkan bahawa pekerja lelaki warga Indonesia dan India yang sebelum ini tidak dibenarkan bekerja dalam sektor kilang telah dibenarkan berbuat demikian.

Katanya KPDNKK pula menyatakan kesediaan merujuk kepada Kementerian Sumber Manusia untuk mempertimbangkan cadangan bagi tidak mengehadkan kebenaran mengambil pekerja asing kepada syarikat sektor pembersihan dan pencucian berstatus Sdn Bhd dengan modal berbayar RM100,000 sahaja.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam maklum balasnya selepas mesyuarat itu turut menyatakan kesediaan kementerian itu untuk mengkaji pelaksanaan prosedur lebih mudah membabitkan pengeluaran surat laporan penilaian pertanian yang bakal menentukan jumlah pekerja asing yang dibenarkan untuk tujuan diambil bekerja, kata beliau.

Bagaimanapun, Jabatan Tenaga Kerja yang ketika mesyuarat itu diminta untuk mencari alternatif memendekkan tempoh tujuh hari pemprosesan sijil pengesahan JobsMalaysia, memutuskan kekal dengan keputusan itu selepas ia dirujuk kepada pengurusan tertinggi jabatan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain