suria

Ibu Bapa Perlu Pilih Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Yang Berdaftar

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengingatkan ibu bapa supaya menghantar anak-anak ke pusat penjagaan berdaftar demi menentukan kualiti penjagaan ke atas anak mereka.

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Hadzir Md. Zain berkata kira-kira 600 pusat penjagaan kanak-kanak seluruh negara telah mendaftar dengan jabatan itu manakala lebih 1,100 pusat lagi sedang menunggu untuk didaftarkan.

"Pendidikan dan penjagaan awal terhadap kanak-kanak adalah satu inisiatif baharu di Malaysia kerana tidak lagi melihat aspek kebajikan semata-mata tetapi merangkumi pendekatan yang menyeluruh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan satu persidangan mengenai penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak di sini, Rabu.

Hadzir yang mewakili Menteri Hal Ehwal Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata jabatan itu akan melawat pusat-pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar tahun depan bagi membuat penilaian terhadap prestasi keseluruhan tempat-tempat berkenaan.

Katanya, pusat-pusat berkenaan akan diberi perakuan bertaraf emas, perak dan gangsa setelah mengambil kira aspek seperti prestasi kakitangannya, keselamatan dan seluruh keadaan persekitaran di pusat-pusat tersebut.

Dalam ucapannya yang dibacakan oleh Hadzir, Shahrizat berkata setiap kanak-kanak hendaklah diasuh dan diberi pendidikan supaya menjadi seorang dewasa bertanggungjawab.

"Jika kekayaan negara digambarkan oleh penduduknya, adalah suatu yang bijak kita membuat pelaburan terhadap modal insan masa depan iaitu kanak-kanak," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain