suria

Sultan S'gor Beli Karya Seni Bantu Kartunis Fatah Ngah

SHAH ALAM: Pelukis dan Kartunis Abdul Fatah Ngah yang kini menderita penyakit saraf, menyerahkan dua karyanya yang dibeli Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini.

Dua lukisan yang menarik minat baginda berjudul 'Wayang' bernilai RM12,000 dan menggambarkan perspektif kesenian Fatah terhadap wayang kulit manakala 'Merdeka Merdeka Merdeka' (RM5,500) memaparkan imej Bapa Kemerdekaan Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra.

Baginda sempat beramah mesra dengan Fatah, yang diiringi Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Sohaimi Shahadan, pada majlis penyerahan lukisan berkenaan petang Jumaat.

Fatah, 57, ketika ditemui selepas itu berkata beliau terharu serta tidak menyangka Sultan Sharafuddin menghargai karyanya dan dipanggil menghadap baginda.

Baginda turut berpesan agar kartunis popular tahun 70-an menerusi 'Lagak A.Mahmud', yang disiarkan majalah humor Gila-Gila, itu menjaga kesihatannya.

Sementara itu, Sohaimi berkata beliau dihubungi Pelukis Diraja Selangor Azman Yusof bagi memaklumkan baginda berkenan membeli lukisan Fatah dan ingin mengetahui perkembangan kesihatan kartunis tersebut.

Beliau berkata, baginda mengetahui penderitaan Fatah, yang kini berkerusi roda, melalui liputan berita mengenai pelancaran Pameran & Jualan Amal Karya Kartunis Fatah pada 21 Oktober lepas di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Katanya, kartunis yang berasal dari Dungun, Terengganu itu menderita penyakit saraf sejak lima tahun lepas dan kini dirawat di Unit Neurologi Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Artikel Lain