suria

Produk 'Coop1M' Tawar Harga Rendah Sehingga 40 Peratus

PETALING JAYA: Pengguna akan mempunyai lebih pilihan untuk mendapatkan barangan harian pada harga lebih rendah dengan kualiti setanding produk berjenama menerusi pelancaran produk 'Coop 1Malaysia' (Coop1M) pada Khamis.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama Felda Trading Sdn Bhd (FTSB) telah memperkenalkan 24 jenis produk antaranya sos cili, mee segera dan kicap yang akan dipasarkan di 500 koperasi di seluruh negara pada harga yang kompetetif iaitu antara 30 hingga 40 peratus lebih rendah daripada barangan berjenama.

"Koperasi berkenaan termasuklah Coop Mart yang terlibat dengan program Tukar, dan D'Mart, koperasi di bawah FTSB.

"Pengenalan produk Coop1M bukan untuk memberi persaingan kepada barangan yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia tapi untuk memberi lebih pilihan kepada pengguna," katanya kepada pemberita selepas melancarkan produk itu dan merasmikan pusat pengedaran Koperasi Permodalan Felda Berhad di Subang Jaya di sini, Khamis.

Beliau berkata FTSB telah melantik Kontena Nasional sebagai rakan strategik yang bertanggungjawab menguruskan pusat pengedaran, pengangkutan dan penghantaran barangan ke semua koperasi terlibat di seluruh negara.

"Sebanyak 10 tan produk Coop1M diedarkan hari ini bagi pasaran di sentral dan utara. Bagaimanapun, koperasi D'Mart telah mula menjual produk Coop1M sejak minggu lepas dan setakat ini, sambutan yang diterima daripada orang ramai adalah menggalakkan," katanya.

Ismail Sabri berkata menjelang 2012, produk Coop1M akan dikembangkan kepada 150 jenis yang meliputi barangan 'fast-moving' seperti makanan dan minuman, serta barangan penjagaan diri.

Beliau turut mensasarkan 500 lagi koperasi di seluruh negara akan menjual barangan itu menjelang akhir tahun ini, termasuk koperasi kariah masjid, koperasi sekolah dan koperasi di institusi pengajian tinggi.

Ismail Sabri juga mencadangkan agar FTSB dan Koperasi Nasional mewujudkan cawangan pusat-pusat pengedaran di setiap negeri di seluruh negara dalam usaha mengurangkan penglibatan orang tengah yang menyumbang kepada kenaikan harga barangan.

"Dengan adanya cawangan pusat pengedaran ini, barangan boleh dihantar terus dari pusat pengedaran utama sebelum diedarkan kepada peruncit. Jadi tak perlu lalu orang tengah," katanya.

Beliau berkata terdapat dua pusat pengedaran yang beroperasi di Sabah iaitu di Tawau dan Lahad Datu, manakala tiga lagi di Sarawak (Kuching, Bintulu dan Miri) akan beroperasi pada Disember ini.

"Saya jamin di mana saja produk Coop1M ini dijual, walaupun di luar bandar, harganya tetap sama dan tidak berbeza dengan apa yang dijual di bandar," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain