suria

Kedudukan Kelompok Jemaah Haji Malaysia Di Arafah Tahun Ini Agak Baik

MEKAH: Menjelang tiba hari wukuf dalam tempoh kira-kira seminggu lagi, khemah-khemah untuk jemaah haji dan petugas Tabung Haji berwukuf di Arafah kini sudah mula giat dinaikkan.

Ketua Rombongan Haji Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata lokasi jemaah haji Malaysia tahun ini agak baik berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana kedudukannya yang hampir dengan jalan besar.

Bercakap kepada kumpulan media Tabung Haji ketika ditemui semasa meninjau persiapan di Arafah, beliau berkata kedudukan yang hampir dengan jalan besar akan memudahkan lagi operasi mengangkut jemaah haji antara Mekah, Arafah, Muzdalifah dan Mina nanti.

Beliau berkata ketika ini pihak Tabung Haji sedang memperincikan lokasi untuk didirikan khemah-khemah jemaah haji dan petugas, di samping khemah khusus untuk pelbagai kemudahan seperti khemah khidmat perubatan, khidmat memasak, dan sebagainya.

Katanya khemah khas buat kumpulan warga emas yang terpilih untuk mendapat khidmat bantuan percuma petugas secara 'one-to-one' pula akan ditempatkan berhampiran dengan khemah petugas, khemah makanan dan perubatan untuk kemudahan mereka.

Syed Salleh berkata jemaah haji dijangka mula bergerak ke Arafah selepas solat Jumaat pada 4 Nov dan bas-bas yang disediakan akan membuat tiga perjalanan bagi membawa semua jemaah dan petugas ke Arafah, dan kerja-kerja mengangkut jemaah dijangka tamat tengah malam.

Sementara itu, Syed Salleh berkata sehingga kini 97 peratus jemaah haji Malaysia sudah sampai ke tanah suci, dan penerbangan terakhir membawa jemaah Malaysia memasuki Mekah dari Jeddah ialah pada 30 Okt. - BERNAMA

Artikel Lain