suria

Elaun Sara Hidup Nelayan: Kerajaan Belanja RM33 Juta

KEMAMAN: Kerajaan telah membayar elaun sara hidup sebanyak lebih RM33.2 juta kepada seramai 5,201 orang nelayan di Terengganu sejak Jun 2008 hingga September 2011.

Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sadon Wahab berkata elaun sara hidup bulanan sebanyak RM200 bagi setiap nelayan itu bertujuan membantu meringankan bebanan mereka.

"Kategori nelayan yang menerima elaun sara hidup ini ialah mereka yang telah disahkan sebagai pekerja oleh pemilik vesel," katanya pada majlis penyampaian elaun sara hidup nelayan Persatuan Nelayan Kawasan Kemasik yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sadon berkata jumlah nelayan yang menerima elaun sara hidup itu adalah sebahagian daripada 8,028 orang nelayan tempatan yang ada di Terengganu.

Beliau berkata bilangan penerima elaun sara hidup nelayan yang berdaftar dengan persatuan nelayan kawasan (PNK) sehinga September 2011 ialah Marang 692 orang, Paka (153), Dungun (705), Kemasik (242), Kijal (100), Kemaman (603), Kuala Terengganu Selatan (895), Kuala Terengganu Utara (511), Setiu (472) dan Besut (828). Sementara itu, beliau berkata bilangan penerima faedah subsidi minyak e-diesel dengan harga RM1.25 seliter dan e-petrol RM1.80 seliter di negeri itu dari Jun hingga September 2001 ialah seramai 1,428 orang.

Pelaksanaan pembayaran insentif hasil tangkapan sebanyak 10 sen sekilo dan vesel laut dalam C2 20 sen sekilo di negeri ini sejak Oktober 2008 hingga Sept 2011 pula melibatkan pembayaran lebih RM5.1 juta.

Sadon berkata bagi tabung bencana alam dan kebajikan nelayan, kerajaan membelanjakan RM259,000 untuk 126 nelayan sejak tahun 2009 ehingga September tahun ini.

Pada majlis itu seramai 205 orang nelayan menerima elaun sara hidup masing-masing. -BERNAMA

Artikel Lain