suria

Pengguna Kad Elektronik Nikmati Diskaun Hingga 20% Sempena Deepavali

KUALA LUMPUR: Plus Expressways Berhad (Plus) memberi rebat tol sehingga 20 peratus kepada pengguna kad PlusMiles, Touch n' Go dan SmartTAG sempena Deepavali.

Pengarah Urusan Plus Expressways Berhad (PLUS), Datuk Noorizah Abd Hamid berkata pengguna kenderaan kelas satu yang membayar tol menggunakan kad elektronik itu akan menerima rebat sebanyak 20 peratus pada Rabu ini dan 10 peratus pada Isnin dan Jumaat.

"Pengguna akan menerima rebat itu jika membayar tol di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Persekutuan Laluan 2, Lebuhraya Elite, Linkedua, Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan Lebuhraya Butterworth-Kulim.

"Rebat tol itu boleh dinikmati sepanjang tiga hari yang telah ditetapkan dan tidak tertakluk pada masa-masa tertentu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata rebat itu boleh dituntut di mana-mana pusat khidmat pelanggan sepanjang lebuh raya Plus apabila pengguna menambah nilai kad elektronik mereka pada bulan berikutnya.

Bagaimanapun, Noorizah berkata rebat berkenaan tidak diberikan kepada pengguna yang membayar di plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Plaza Tol Tanjung Kupang dan Plaza Tol Bangunan Sultan Abdul Samad.

Artikel Lain