suria

Pengecualian Cukai Galakkan Masyarakat Menderma Kepada Rumah Ibadat

KUALA LUMPUR: Menjadi rutin mingguan kepada usahawan wanita Lim Ai Ling untuk bersembahyang di tokong Buddha di Jalan Klang Lama dan setiap kali juga beliau tidak pernah alpa menyelitkan wang ke dalam peti derma.

Sikap pemurahnya sebagai seorang penganut tidak berakhir di situ. Setiap kali pengurusan tokong menganjurkan aktiviti mengutip derma, beliau dengan senang hati memberi sumbangan yang lebih banyak. "Kadang-kadang jawatankuasa tokong perlukan lebih banyak dana, bukan sebab mereka mahu membina tokong baru tetapi untuk menyelenggara tokong dan menjalankan lebih banyak kerja amal. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk menderma," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Apabila beliau mendengar kerajaan, menerusi Belanjawan 2012, akan memberi pengecualian cukai kepada mereka yang menderma untuk rumah ibadat berdaftar, Lim berasa gembira kerana sumbangannya kini diiktiraf dan dihargai kerajaan.

"Ini suatu yang kami sebagai penganut harapkan selama ini. Setidak-tidaknya kerajaan memberikan sedikit penghargaan kepada kami dengan cara ini (pengecualian cukai)," katanya.

Di bawah Belanjawan 2012, kerajaan akan mempercepatkan kelulusan pengecualian cukai kepada semua rumah ibadat serta institusi pendidikan termasuk institusi kebangsaan, jenis kebangsaan, institusi mubaligh dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Terdapat sekurang-kuranganya enam kategori di bawah rumah ibadat di Malaysia iaitu tokong Buddha, gereja, gudwara, kuil Hindu, masjid dan tokong Taois.

Presiden Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois Malaysia (MCCBCHST) Tan Hoe Choew berkata pengecualian cukai itu akan menggalakkan lebih ramai penganut, terutama bukan Islam untuk menderma.

"Selama ini tidak ada pengecualian cukai. Sekarang, apabila seseorang menderma sejumlah wang bagi membina rumah ibadat, contohnya RM10,000 kepada sebuah tokong dan pengurusan tokong mengeluarkan resit yang membolehkan beliau menuntut pengecualian cukai. Ini sangat bagus," katanya kepada Bernama.

Katanya sebelum ini pengecualian cukai diberi mengikut kes tertentu memandangkan jawatankuasa sesebuah rumah ibadat harus memohon kepada Kementerian Kewangan untuk pengecualian cukai.

Pada masa sekarang, sumbangan kewangan ke institusi atau organisasi yang diluluskan telah diberi pengecualian cukai dan Belanjawan 2012 memperluaskan langkah itu kepada semua rumah ibadat yang berdaftar.

Tan berkata tindakan kerajaan itu akan memastikan lebih banyak sumbangan kepada rumah ibadat untuk melakukan kegiatan mereka termasuk menaik taraf bangunan atau melakukan kerja amal.

Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS) R.S. Mohan Shah pula berkata langkah itu amat dialu-alukan memandangkan pengurusan kuil Hindu banyak bergantung kepada derma penganutnya.

2,000 kuil berdaftar dengan kami dan dengan pengecualian cukai itu, lebih ramai penganut akan menderma bagi memastikan kuil mereka dijaga baik," katanya menambah kebanyakan derma bukan untuk bangunan, tetapi bagi penyelenggaraan dan juga penganjuran pelbagai aktiviti untuk penganut.

Katanya MHS mendidik pengurusan kuil agar melakukan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan berbanding membina kuil yang lebih besar bagi mengelakkan masalah lain seperti kekurangan dana untuk penyelenggaraan di kemudian hari.

Beliau juga berharap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengeluarkan garis panduan yang jelas mengenai langkah itu dan memberi taklimat kepada pengurusan kuil serta penganut, dan pada masa yang sama membantu mereka untuk mengesahkan derma bagi pengecualian cukai.

Sementara itu Tan yang juga Presiden Persekutuan Persatuan Taois Malaysia berkata MCCBCHST akan mengadakan dialog dengan LHDN mengenai perkara itu.

Katanya pengecualian cukai untuk sumbangan kepada rumah ibadat adalah satu langkah ke hadapan dalam menghormati amalan semua agama, namun langkah itu tidak boleh dianggap sebagai kebenaran untuk membina lebih banyak rumah ibadat yang tidak berdaftar.

"Pembinaan rumah ibadat baru masih perlu mematuhi garis panduan sedia ada," katanya. Presiden Majlis Gereja Malaysia Rev Dr Thomas Philips pula dilaporkan berkata pengecualian cukai itu adalah antara perkara dalam senarai yang dikehendakki penganut agama Kristian sejak sekian lama.

"Mereka yang membayar zakat menerima pengecualian cukai dan memang bagus kerana kerajaan mengiktiraf bahawa penganut Kristian juga mengumpulkan dana mereka sendiri," katanya yang mahu gereja mewujudkan sistem untuk mengeluarkan resit kepada anggotanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain