suria

Bekas Juruwang Bank Didakwa Pecah Amanah

SHAH ALAM: Seorang bekas juruwang RHB Bank Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang kutipan pelanggan berjumlah RM210,000, tiga tahun lalu.

Mohd Shufizan Yahaya, 34, mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 7 malam, 31 Mac 2008 di bank berkenaan yang beralamat di nombor 48 dan 50, Jalan SS15/4D, Subang Jaya, dekat sini.

Tertuduh ditangkap pada 21 Oktober lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Kamaruddin mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Shufizan yang menetap di Taman Bukit Bandaraya, di sini merayu agar jaminan RM40,000 yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan dapat dikurangkan kerana menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan tiga anak.

"Hutang rumah dan kereta juga sudah empat bulan tidak dibayar. Hutang kad kredit berjumlah RM30,000 juga sudah tidak dibayar sejak tiga tahun lalu," katanya dan menambah hanya mampu menyediakan wang sebanyak RM1,000 sahaja.

Selepas mempertimbangkan rayuan itu, Aslam membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan untuk menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 21 November depan untuk lantikan peguam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain