suria

Mayat Lelaki Ditemui Tersangkut Pada Tali Sauh Penyedut Pasir

PASIR MAS: Mayat seorang lelaki ditemui tersangkut pada tali sauh penyedut pasir di Sungai Kelantan, Kampung Paloh, Tendong dekat sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata mayat lelaki yang lengkap berpakaian itu ditemui seorang pekerja penyedut pasir di kawasan itu kira-kira 10 pagi Isnin.

"Mayat lelaki itu lengkap berpakaian namun tanpa sebarang pengenalan diri.

"Berdasarkan keadaan tubuh badan mangsa, kita percaya dia mungkin berusia lingkungan 20-an dan dipercayai telah lemas lebih daripada sehari," katanya kepada pemberita di sini.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Lati, Pasir Mas untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, Haliludin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan agar menghubungi balai polis berdekatan atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di talian 09-7908222.

Sementara itu, Abdul Rashid Abdul Aziz, 18, yang menemui mayat itu, berkata beliau pada mulanya menyangka objek terapung yang tersangkut pada tali sauh penyedut pasir adalah bangkai binatang.

Bagaimanapun, setelah didekati, beliau terkejut apabila mendapati ia mayat seorang lelaki dan terus memaklumkannya kepada polis. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain