suria

Empat Maut Dalam Kemalangan Berasingan

IPOH: Empat terbunuh dua daripadanya pelajar dalam kemalangan berasingan membabitkan kenderaan di negeri ini pada Ahad.

Ketua Polis Trafik Negeri, Supt Wan Abdullah Ishak berkata seorang pelajar berusia 14 tahun terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah lori di satu simpang empat di Ipoh pukul 1.20 tengah hari.

Mohamad Syazani Badrulhisham berasal dari Kampung Tawas meninggal di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Seorang lagi pelajar, Muhamad Izuan Mohd Daud, 14 dari Parit Buntar di utara juga terbunuh selepas motosikalnya terbabit dalam perlanggaran dengan sebuah kereta pacuan empat roda yang memotong kenderaan lain di Jalan Parit Buntar-Butterworth pukul 2.51 petang.

Wan Abdullah berkata pemandu kenderaan terbabit berusia 32 tahun ditahan untuk siasatan dan dibebaskan kemudian, sementara mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Di Hutan Melintang dekat Teluk Intan, seorang wanita Norhashimah Ismail, 43, yang menunggang motosikal keluar dari satu simpang empat juga terbunuh selepas dirempuh sebuah kereta pukul 12.30 tengah hari.

Dalam kejadian terakhir, seorang warga emas, Lee Lian Hoe, 60 terbunuh selepas dilanggar sebuah motosikal ketika mangsa dipercayai melintas jalan di Taman Nesa, Selama, juga di utara tengah malam tadi. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain