suria

Pendapatan K'jaan Tak Terjejas Walaupun Sumbangan Daripada Petronas Kurang Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempunyai pendapatan lebih daripada mencukupi untuk mengurus ekonomi meskipun sumbangan daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berkurangan tahun depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata, syarikat minyak negara itu dijangka membayar kira-kira RM28 bilion dalam dividen kepada kerajaan, pengurangan sebanyak RM2 bilion yang biasa dibayarnya setiap tahun.

"Petronas mahu lebih banyak wang dilabur semula dalam operasi mereka yang akan kemudiannya membawa kembali hasil kepada kita.

"Ia lebih daripada mencukupi bagi kita," kata Wan Abdul Aziz kepada para pemberita selepas menghadiri Dialog Pasca Belanjawan 2012, anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di sini, Isnin.

Kerajaan menjangka jumlah perolehan meningkat kepada RM186 bilion tahun depan daripada RM183 bilion tahun ini.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian di bahagian Ekonomi dan Antarabangsa kementerian, Dr Sundaram Annamalai, berkata kerajaan komited untuk memastikan nisbah hutang berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) akan di bawah 55 peratus menjelang 2020.

"Kami mahu memastikan ia tidak melebihi 55 peratus menjelang 2020. Di bawah Model Baru Ekonomi, kita sepatutnya membawanya (belanjawan) hampir seimbang, menjelang 2020," katanya.

Nisbah hutang berbanding KDNK kerajaan persekutuan bagi tahun ini dijangka pada 53.8 peratus tahun ini dan RM54.8 peratus tahun depan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain