suria

Lelaki Dipercayai Tumbuk Pemandu Ambulans Akan Didakwa Di Mahkamah

BESUT: Seorang lelaki yang dipercayai menumbuk muka seorang pemandu ambulans Hospital Daerah Besut dalam kejadian awal pagi 6 Oktober lepas akan didakwa di mahkamah tidak lama lagi.

Ketua Polis Daerah Besut Superintenden Kamaruddin Mohd Zakaria berkata lelaki yang berusia 29 tahun itu, kini dibebaskan sementara dengan jaminan polis bagi membolehkan dia menguruskan isteri dan anak kembarnya.

"Siasatan awal mendapati lelaki terbabit mengalami masalah panas baran," katanya kepada media selepas menyaksikan Upacara Pemakaian Pangkat Koperal kepada 66 anggota rendah di Ibu Pejabat Polis Kampung Raja di sini pada Selasa.

Dalam kejadian yang berlaku pukul 2.45 pagi 6 Oktober, lelaki berkenaan dipercayai bertindak menumbuk pemandu ambulans Mahadi Mohd Jaafar, 39, sebaik mangsa bersama seorang pegawai perubatan dan dua jururawat tiba di rumahnya di Rumah Murah Taman Abdullah, Alor Lintah bagi menguruskan isteri lelaki berkenaan yang hendak bersalin.

Lelaki itu mendakwa pemandu ambulans itu tiba lewat dan telah menumbuk di bahagian mata kiri Mahadi hingga menyebabkan beliau cedera dan membuat laporan di Balai Polis Jerteh sebelum mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Universiti Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Sementara itu, Kamaruddin berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Besut menetapkan setiap 323 anggotanya menyalurkan sekurang-kurangnya satu maklumat dalam sebulan bagi membantu mengatasi masalah pengurusan termasuk jenayah dan narkotik melalui polisi 'Bekerja Berpandukan Maklumat'.

Langkah itu yang diperkenalkan mulai bulan ini adalah bagi memastikan setiap anggota bekerjasama dalam mengatasi kes-kes jenayah mahupun narkotik secara lebih bersepadu dan teratur, kata beliau.

Katanya langkah tersebut juga bersesuaian dengan sasaran pihaknya bagi menurunkan kadar indeks jenayah dan jenayah jalanan kepada 20 peratus pada akhir tahun ini berbanding 12.5 peratus penurunan sehingga September lalu.

Sehubungan itu, katanya polis akan turut memastikan setiap kes penyiasatan di daerah itu akan dibawa ke mahkamah dalam masa yang singkat dan tidak lagi terpaksa menunggu sehingga beberapa minggu seperti sebelum ini.

Beliau berharap dengan langkah yang diambil proses tangkapan dan pertuduhan di mahkamah akan dapat dijalankan dengan lebih licin tanpa tergendala. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain