suria

Hukuman Tatatertib Terhadap Tujuh Peguam Syarie Kekal

KOTA BAHARU: Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan pada Isnin mengekalkan hukuman tatatertib terhadap tujuh peguam syarie di negeri ini oleh Jawatankuasa Kelayakan dan Tatatertib Peguam Syarie Kelantan pada Mei lalu.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Ariffin Zakaria yang bertindak sebagai pengerusi mahkamah berkenaan memutuskan tindakan jawatankuasa itu terhadap tujuh peguam tersebut adalah tepat dan tidak menyalahi peruntukan undang-undang serta hak asasi.

"Dengan itu kami berpendapat tidak ada penyalahgunaan hak asasi dan menyalahi prosedur dalam budi bicara jawatankuasa itu.

"Mahkamah mendapati hukuman (jawatankuasa itu) adalah setimpal dan tidak terlalu berat dan dengan itu hukuman berkenaan adalah dikekalkan," katanya ketika membacakan keputusan penghakiman itu.

Ariffin berkata kesemua perayu juga telah diberi dua kali peluang untuk membela diri iaitu melalui representatif dan juga dipanggil bertemu jawatankuasa itu sebelum dijatuhkan hukuman tatatertib.

"Soal pelantikan hakim tidak perlu dipertikaikan kerana ia akan diperhatikan rakyat yang dikhuatiri akan menimbulkan persepsi kurang baik," katanya.

Tujuh peguam berkenaan yang dikenakan tindakan tatatertib itu adalah Che Rosmah Mohamed Zain, Zati Bayani Mohamad Azmi, Mohd Zaki Zainal Abidin, Suhaila Ibrahim, Naimah Saupi, Nasuuha Ismail dan Rosniza Mohamad.

Jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad pada 15 Mei lalu telah mengenakan tindakan menggantung tiga bulan daripada mengamalkan profesion guamannya terhadap Che Rosmah manakala enam yang lain itu telah dikenakan tindakan celaan.

Mereka itu dikenakan tindakan berkenaan kerana mempertikaikan pelantikan bekas Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kutty sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan pada Januari lalu.

Kesemua peguam berkenaan diwakili peguam Noor Azham Yahaya dan Alawi Mohd Rashid manakala responden iaitu jawatankuasa berkenaan diwakili Nik Baharom Nik Abdullah.

Mohd Isa Mohd Ralip pula bertindak sebagai peguam pemerhati mewakili Persatuan Peguam-peguam Syarie Malaysia.

Selain Ariffin, dua lagi hakim yang turut bersidang adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Anggota Jemaah Ulama Kelantan, Wan Hassan Wan Mohammad. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain