Penjenayah Guna Taktik Pancit Tayar Kereta Sebelum Rompak - Semasa | mStar

Penjenayah Guna Taktik Pancit Tayar Kereta Sebelum Rompak

KUALA LUMPUR: Lima lelaki Amerika Latin ditahan manakala 10 lagi sedang dikesan, dipercayai anggota kumpulan penyamun antarabangsa, yang menggunakan taktik memancitkan tayar kenderaan mangsa sebelum merompak mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata kumpulan itu sebelum ini aktif menggunakan taktik itu di negara lain seperti Singapura, Hong Kong, Korea, Jepun dan Vietnam.

Beliau berkata setakat ini, polis mengenal pasti lima kes samun yang menggunakan taktik itu sejak Ogos lepas di sekitar Kuala Lumpur, melibatkan kerugian RM600,000.

"Kumpulan tersebut mulanya meletakkan dua suspek wanita di dalam bank sebagai pemerhati dan mereka ini akan memaklumkan kepada rakan yang berada di luar untuk memancitkan tayar kereta individu yang membuat pengeluaran wang. "Apabila mangsa tiba di kenderaan, beberapa suspek kemudiannya mendekati mangsa dan memberitahu bahawa tayar kenderaannya pancit dan ketika tayar tersebut ditukar, kumpulan tersebut menyamun wang tunai milik mangsa," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Ku berkata bertindak atas laporan, satu pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur ditubuhkan bagi memburu anggota kumpulan tersebut sebelum berjaya menahan lima lelaki dalam dua serbuan.

Beliau berkata pada 1 petang 30 Sept lepas, polis menahan dua suspek yang disyaki sedang mencari mangsa di sekitar kawasan bank di Batu 3, Jalan Ipoh, dan menemui peralatan termasuk paku yang digunakan untuk memancitkan tayar.

Katanya hasil soal siasat, pasukan khas itu kemudiannya menahan tiga lagi anggota kumpulan tersebut di kawasan Ampang semalam. "Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 40an hingga 50an dan kita kini memburu 10 lagi anggota kumpulan terbabit termasuk dua wanita yang kadangkala menyamar memakai tudung.

Ku berkata kumpulan itu setaraf penjenayah professional dan telah aktif beroperasi di Kuala Lumpur sejak tiga bulan lalu, malah menyewa sebuah rumah di kawasan Puchong dan juga menyewa kenderaan dari sebuah syarikat untuk bergerak.

Beliau berkata kumpulan itu juga mungkin menjalankan kegiatan mereka di negeri lain termasuk di Selangor, Johor dan Pulang Pinang.

"Setakat ini di Kuala Lumpur kita baru dapat sahkan sebanyak lima kes dan kita akan berhubung dengan kontinjen negeri-negeri lain bagi mengesahkan perkara itu," kata Ku.

Beliau berkata kesemua suspek masuk ke negara ini menggunakan pasport tulen namun kemudian memalsukan pasport supaya tidak dikesan dan pihak polis masih menyiasat identiti kerakyatan kesemua mereka. Bagaimanapun polis percaya suspek berasal dari Peru dan Guatemala berdasarkan siasatan yang menunjukkan kesemua wang yang berjaya diperoleh telah dikirim ke negara asal mereka.

"Salah seorang suspek yang ditahan juga mempunyai waran tangkap dan pernah ditangkap sebelum ini kerana menyamun sebuah premis di Ampang dan dibebaskan atas ikat jamin namun tidak hadir ke mahkamah untuk perbicaraan," katanya.

Beliau berkata polis turut merampas empat komputer riba, lapan telefon bimbit, tiga jam tangan pelbagai jenama, sebuah kamera digital, enam batang besi runcing, sebilah pisau dan tiga keping pelapik getah.

Ku meminta orang ramai yang pernah kehilangan barang-barang serta mengalami kejadian yang sedemikian agar tampil atau menghubungi polis. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

Artikel Lain