suria

Muhyiddin Puas Hati Sumbangan Swasta Dalam Mencegah Jenayah

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa puas hati dan sukacita dengan penglibatan sektor swasta dalam usaha mencegah dan membanteras jenayah.

Timbalan Perdana Menteri berkata beberapa program di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, seperti seminar dan kursus yang dianjurkan pelbagai pihak banyak menekankan penglibatan pihak swasta dalam pencegahan jenayah. Pendekatan inklusif itu memberi tumpuan kepada aspek peningkatan teknologi keselamatan, polis bantuan serta penglibatan perniagaan dan badan bukan kerajaan di atas platform tanggungjawab sosial korporat, katanya.

"Peranan sektor swasta dalam mempromosikan budaya pencegahan jenayah telah mendapat perhatian yang semakin meningkat dalam tahun-tahun kebelakangan ini," kata Muhyiddin dalam ucapan di Majlis Makan Malam Amal Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini malam Selasa.

Timbalan Perdana Menteri turut memuji Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terus berusaha mengurangkan kadar jenayah dengan melaksanakan inisiatif yang dirangka mengikut Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Ia terbukti berhasil apabila Laporan Indeks Keselamatan Global meletakkan Malaysia di kedudukan ke-19 bagi negara paling selamat di dunia di kalangan 156 negara lain.

"Kedudukan tersebut boleh dicapai melalui pelbagai usaha yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan termasuk peningkatan kawalan keselamatan dan pencegahan jenayah sebagai salah satu bidang di bawah NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara)," katanya.

Muhyiddin menegaskan walaupun tanggungjawab memelihara keselamatan dan ketenteraman awam diletakkan di bahu PDRM dan agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri, namun kejayaan pencegahan jenayah turut bergantung kepada sokongan dan kerjasama seluruh masyarakat.

Katanya kerajaan sentiasa berusaha untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan antara 10 negara paling selamat di dunia berikutan kejayaan negara yang telah dipilih sebagai negara paling aman dan selamat di Asia Tenggara malah akan terus mempertingkatkannya dengan sokongan semua pihak.

Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada MCPF kerana berjaya mengumpul dana sebanyak RM2.6 juta tahun ini dan berharap program pencegahan jenayah anjuran yayasan itu dapat dipertingkatkan lagi pada masa depan. -BERNAMA

Artikel Lain