suria

Awang Adek: Malaysia Perlu Lahir Intelektual Syariah Bagi Menyokong Industri Kewangan Islam

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata beberapa strategi perlu dilaksanakan dalam memperkasa kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa.

Menurut beliau strategi pertama yang dianggap penting ialah melahirkan intelektual syariah yang dinamik bagi menyokong industri kewangan Islam.

Awang Adek berkata para intelektual Syariah yang dinamik diperlukan untuk memainkan peranan dalam usaha menyahut seruan Kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan amalan Syariah kewangan Islam global.

Selaras dengan keperluan semasa, katanya penguasaan ilmu oleh para ulama dan cendekiawan Islam pada hari ini sudah semestinya tidak terbatas kepada satu bidang keilmuan sahaja. "Pengetahuan ekonomi, kewangan dan perundangan yang kukuh perlu digabungkan dengan kefahaman Syariah yang menyeluruh. Kombinasi ilmu yang mendalam merupakan alat kepada penetapan hukum Syariah yang mendasari setiap produk dan perkhidmatan kewangan Islam," katanya dalam ucaptama dan majlis pembukaan Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam KLIFF keempat di sini pada Isnin.

Menurut beliau, penubuhan institusi penyelidikan yang bertujuan merangsang pembangunan Syariah, masih belum mencukupi untuk mencapat matlamat yang disasarkan. "Langkah-langkah kerjasama antara institusi kewangan Islam dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta perlu dipertingkat dalam melahirkan pelapis ulama dan cendekiawan Islam yang dinamik dan berkualiti," katanya.

Peranan proaktif para ulama dan cendekiawan Islam ke arah perkembangan kewangan Islam adalah satu lagi strategi bagi memastikan kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa. "Walaupun prestasi kewangan Islam Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan, kita tidak seharusnya terlalu selesa dengan pancapaian kita pada hari ini," katanya.

Menurut Awang Adek, kewangan Islam menuntut pembaharuan yang berterusan dari semasa ke semasa dan adalah diharapkan para cendekiawan dan pakar kewangan Islam berjaya menggalas tanggungjawab besar selaku penggerak masyarakat Islam ke arah memperkasa kewangan Islam.

Beliau juga berkata penerbitan Rujukan Parameter Syariah oleh Bank Negara pada Oktober 2009, merupakan usaha positif ke arah memantapkan prinsip-prinsip Syariah dalam kewangan Islam dan berharap lebih banyak parameter akan dikeluarkan secara berterusan.

Awang Adek turut menekankan perlunya kerjasama yang kukuh antara agensi kerajaan dan swasta sebagai strategi penting dalam memastikan kejayaan misi dan visi Kerajaan.

Beliau juga berkata sektor perbankan Islam di Malaysia telah mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan sejak lima tahun lepas dengan aset keseluruhan bank, simpanan dan pembiayaan perbankan Islam mencatat kadar 22 peratus, melepasi sasaran Pelan Induk Kewangan Islam yang ditetapkan kerajaan pada kadar 20 peratus. Jumlah aset perbankan Islam juga telah mencatat penambahan yang memberangsangkan berjumlah RM350.8 bilion pada akhir 2010 berbanding RM303.26 bilion pada tahun sebelumnya, katanya.

Malaysia juga kekal sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia dengan mencakupi lebih 66 peratus daripada terbitan keseluruhan sukuk global pada akhir 2010, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain