suria

Suami Mangsa Lif Terhempas Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR: Suami wanita hamil tujuh bulan yang patah kaki kanannya selepas terlibat dalam kejadian lif terhempas di Pusat Beli-belah Selayang Mall dekat sini membuat laporan polis malam tadi. Noor Fahmi Izwan Othman, 25, membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kira-kira jam 11.00.

"Saya membuat laporan polis kerana merasakan berlaku kecuaian di pihak pengurusan pusat beli-belah itu sehingga terjadinya insiden semalam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Sementara itu, unit pengurusan pusat beli-belah itu, Seal Incorporated Berhad (SIB) ketika dihubungi menafikan laporan sebuah akhbar bahawa kejadian itu berpunca daripada kabel yang putus.

Pengurus Promosinya Desmond Ting berkata: "Kita sudah memeriksa kabel itu dan ia masih dalam keadaan baik.

Bagaimanapun pada masa ini kita sedang menunggu laporan konsultan kita yang lebih pakar untuk mengetahui laporan dan punca sebenar kejadian ini," katanya.

Menurutnya jika kabel itu putus, orang yang berada dalam lif boleh menerima nasib lebih buruk termasuk cedera parah dan maut. Beliau berkata pihak konsultan lif telah melakukan pemeriksaan terhadap lif berkenaan pada 6 pagi tadi.

Noor Fahmi dan isterinya Norazlina Mohd Yusoff, 25, bersama enam lagi anggota keluarganya serta beberapa individu lain sedang menaiki lif itu untuk turun dari tingkat empat ke tingkat paling bawah bila kejadian itu berlaku pada kira-kira 5.00 petang.

Ketika itu, lif tersebut berhenti di tingkat tiga untuk mengambil penumpang lain sebelum tiba-tiba berhenti di tingkat 'G' (ground floor) tanpa pintu terbuka.

Secara tiba-tiba lif tersebut naik semula ke tingkat satu sebelum terus menjunam ke tingkat paling bawah (lower ground).

Ketua Polis IPD Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis mengenai kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain