suria

Polis Tumpas Sindiket Edar Dadah Di Kelab Malam

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lelaki dan seorang wanita tempatan yang dipercayai aktif mengedar dadah dan pil khayal di sebuah pusat hiburan di Wisma YCL, Taman Sungai Besi, Ahad.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata dalam serbuan kira-kira 1.30 pagi itu, polis turut merampas sejumlah dadah yang dianggarkan bernilai hampir RM21,000 di kelab malam itu.

"Tangkapan pertama dilakukan ke atas seorang lelaki berusia 47 tahun yang berada dalam sebuah bilik kecil di pusat hiburan itu dan polis menemui sejumlah dadah," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata pemeriksaan dalam bilik itu membawa kepada penemuan satu bekas tin coklat empat segi berwarna ungu yang diletakkan di tepi dinding di atas lantai dan di dalamnya berisi 220 biji pil Eramin 5 seberat 60.2 gram.

Polis juga menemui sebuah bekas tin berwarna hijau di bawah meja di dalam bilik itu, yang mengandungi 100 biji pil ecstacy seberat 30.86 gram.

"Turut dirampas dari suspek yang positif dadah itu ialah wang tunai RM5,200 dan dua buah telefon bimbit," katanya. Mohan Singh berkata berikutan serbuan seterusnya di bilik berlainan di pusat hiburan itu, polis menahan tiga lelaki berumur 17 hingga 26 tahun dan seorang wanita berusia 51 tahun.

Beliau berkata dalam pemeriksaan di bilik itu polis menemui sebuah beg berwarna ungu yang mengandungi 319 biji pil ecstacy seberat 92.8 gram, tiga paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki ketamin seberat 4.95 gram dan 40 biji pil Eramin 5 seberat 10.77 gram.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek wanita, polis merampas sepaket plastik lutsinar berisi lapan biji pil ecstacy seberat 2.63 gram yang digenggam tangan kiri suspek itu, katanya.

Polis turut merampas dari mereka wang tunai RM5,426 dan empat buah telefon bimbit manakala saringan air kencing mendapati dua suspek lelaki positif dadah.

Beliau berkata kelima-lima suspek, yang tidak berkahwin dan bekerja sendiri, dipercayai aktif mengedar dadah kepada pengunjung dan pelayan GRO kelab malam tersebut sejak kira-kira dua bulan lepas.

Suspek pertama disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditahan reman selama lima hari bermula semalam manakala empat suspek lain disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2)/(3) Akta Dadah Berbahaya serta ditahan reman selama enam hari bermula, Ahad. - BERNAMA

Artikel Lain