suria

Kempen Penyakit Tidak Berjangkit Dipergiat Kepada Pengendali Makanan

SINTOK: Kementerian Kesihatan mempergiatkan kempen kesedaran pada kalangan pengendali makanan mengenai penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan hipertensi bagi menggalakan penyediaan makanan sihat.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata ini kerana pengendali makanan memainkan peranan penting dalam memberikan pemakanan yang sihat kepada masyarakat.

"Kita adakan kempen kepada pengendali gerai seperti pengusaha teh tarik, kita mahu mereka kurangkan susu dan gula dalam minuman mereka. Kempen akan dilakukan secara lebih besar untuk mewujudkan kesedaran supaya kadar penyakit tidak berjangkit dapat dikurangkan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau yang ditemui selepas melancarkan Program Siswa Sihat 1Malaysia di Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata program itu sebahagian daripada Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit Tidak Berjangkit yang dijalankan sejak Disember lepas.

"Elemen makan secara sihat dan melakukan aktiviti fizikal merupakan fokus utama dalam pelan itu. Kesedaran tentang perkara ini memang sudah ada cuma amalan saja tidak begitu dibudayakan," katanya.

Katanya Malaysia kini di kedudukan pertama di Asia Tenggara daripada segi obesiti dan keenam di Asia.

"Dari segi penyakit kardiovaskular (jantung dan strok) pada 2010, ia menjadi penyebab utama kematian di hospital-hospital Kementerian Kesihatan. Sebanyak 25.4 peratus atau 11,812 kematian disumbangkan oleh penyakit kardiovaskular," katanya.

Rosnah berkata penyakit kardiovaskular juga penyebab utama kematian pramatang di hospital kerajaan.

"Sebanyak 35 peratus kematian akibat penyakit kardiovaskular adalah di kalangan mereka yang berusia kurang daripada 60 tahun," katanya.

Rosnah berkata Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2006 mendapati 43.7 peratus daripada 5,545,891 rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tidak menjalani hidup secara aktif, yang bermakna 44 daripada 100 orang dewasa tidak aktif.

"Kajian NHMS juga menunjukkan bahawa prevalen pesakit diabetes di kalangan penduduk yang berumur 30 tahun ke atas meningkat daripada 8.3 peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006. Ini menunjukkan 1.5 juta rakyat Malaysia dewasa (berumur 18 tahun ke atas) menghidap diabetes.

"Selain itu seramai 4.8 juta rakyat Malaysia berusia 30 tahun ke atas menghidap penyakit hipertensi. Dianggarkan 70 peratus kehadiran pesakit di klinik-klinik kesihatan kementerian adalah berkaitan NCD," katanya.

Mengenai program pada Jumaat, Rosnah berkata langkah itu bertujuan mendidik masyarakat khususnya penuntut universiti agar menjalani kehidupan yang sihat.

"Program yang dijalankan di empat zon ini memfokuskan kepada amalan berjalan 10,000 langkah sehari dan mengurangkan pengambilan lemak.

"Program itu diadakan hari ini dan esok di UUM bagi Zon Utara. Bagi Zon Tengah di Universiti Kebangsaan pada 8 hingga 9 Okt, Zon Sabah di Universiti Malaysia Sabah pada 14 dan 15 Okt manakala Zon Timur di Universiti Malaysia Terengganu pada 23 dan 24 Okt," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain