suria

Status OKU Tidak Halang Cipta Kejayaan Di Universiti

PULAU PINANG: Menerusi kesungguhan dan keazaman tinggi, bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM), Yuhaizam Yahaya bukan hanya memperoleh segulung ijazah malah dipilih pemenang Pingat Emas Universiti Sains Malaysia (USM) meskipun berstatus pelajar kelainan upaya.

Yuhaizam, 40, ketika ditemui pemberita sempena pengurniaan anugerah itu di Majlis Konvokesyen USM ke-44 di sini berkata kemalangan udara yang dialaminya tujuh tahun lepas itu, yang mengakibatkannya lumpuh, tidak mematahkan semangatnya menyambung pengajian hingga ke menara gading di bidang Sains Kemasyarakatan.

"Masa kini, kita memerlukan ilmu dengan mengikuti pengajian universiti dan yang paling penting tidak harus malu serta rasa diri terpencil tetapi cuba membuka minda lebih luas demi masa depan," katanya yang kini bertugas sebagai kaunselor di Institut Latihan Tentera Udara, Ipoh, Perak.

Beliau berkata selain menanam motivasi dalam diri, sokongan semua pihak terutama keluarga juga menjadi faktor penting mencapai kejayaan sehingga beliau memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.48.

Yuhaizam yang aktif dalam sukan memanah itu menasihati golongan senasib dengannya agar tidak mudah berputus asa menuntut ilmu kerana pada masa kini terdapat pelbagai kemudahan disediakan di universiti.

"Terima kasih kepada USM yang mempunyai kemudahan untuk orang kelainan upaya (OKU) seperti saya dan di samping itu rakan-rakan ramai membantu," katanya yang berkerusi roda diiringi ibunya, Marliah Mat Isa dan anak sulungnya.

Di samping Pingat Emas, bapa kepada empat anak yang berasal dari Taiping, Perak ini menerima sijil dan cek bernilai RM300 daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail selaku Canselor USM.

Sementara itu, penerima anugerah pelajaran diraja Majlis Raja-Raja dan Hadiah Emas Canselor, Mohammad Rahim Kamaluddin, 24, berkata seorang pelajar itu harus sentiasa gembira dan menumpukan sepenuh perhatian ketika sesi pembelajaran di kuliah.

"Kita perlu gembira menggunakan kualiti masa semasa belajar walau hanya 30 minit hingga sejam kuliah kemudian mengulang kaji pelajaran dan berkongsi ilmu dengan rakan-rakan yang kurang memahami," katanya yang kini menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Criminology di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Dalam pada itu, Naib Canselor USM Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak pada sidang akhbar yang sama berkata seramai 5,590 pelajar memperoleh ijazah dan diploma pada majlis konvokesyen selama lima hari itu yang akan disampaikan oleh Tuanku Syed Sirajuddin esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain