Papan Tanda Kita Haprak? - Semasa | mStar

Papan Tanda Kita Haprak?

LAPORAN muka hadapan Mingguan mStar minggu ini membawa satu kisah yang sangat menarik iaitu tentang bagaimana kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditugaskan khas untuk membersihkan papan tanda-papan tanda awam dan harta awam seperti papan nama jalan, telefon awam, tiang elektrik, tiang telefon dan lain-lain lagi berhadapan dengan satu cabaran yang sangat besar apabila kerja-kerja pembersihan yang mereka lakukan pada sebelah pagi kembali ditampal pada sebelah petang atau malam - kebanyakan oleh operator peminjam wang haram.

Harta benda awam ini telah dilekatkan dengan stiker haram sehingga pada setengah-setengah tempat, kita tidak langsung dapat membaca nama jalan dan juga tanda arah. Ini telah menyusahkan para pengguna seperti penulis dan juga para pembaca semua.

Namun begitu, di sebalik permasalahan yang timbul daripada perbuatan melekatkan stiker haram pada papan-papan tanda jalan, penulis juga telah disedarkan betapa di negara kita, posisi papan tanda arah boleh disifatkan sebagai antara yang terburuk di dunia.

Mencari arah destinasi

Kenapa penulis berkata begitu? Ini kerana penulis sendiri telah melalui satu proses untuk mencari arah destinasi dalam keadaan yang sangat sukar kerana papan tanda arah kita sama ada tidak lengkap, separuh lengkap atau pada kebanyakan tempat diletakkan pada posisi yang tidak sepatutnya.

Biar penulis beri satu contoh dan kemudian para pembaca sendiri boleh mengesahkannya dengan melalui laluan yang akan penulis ceritakan ini. Baru-baru ini penulis telah menyertai satu rombongan media anjuran Kementerian Pertahanan ke Sabah untuk menyaksikan bagaimana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan operasi mencegah pencerobohan pengganas di medan hadapan perairan berkenaan.

Misi tersebut memerlukan kami berangkat melalui Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang. Untuk makluman semua, penulis tidak pernah ke pangkalan ini. Pada masa dahulu-dahulu, kebanyakan aktiviti TUDM dan media dijalankan menerusi Pangkalan TUDM Sungai Besi.

Selepas mencari panduan menerusi Internet, keesokan harinya penulis pun bertolak dari rumah pada lebih kurang jam 4.45 pagi kerana kami semua diarahkan berada di Pangkalan TUDM Subang sebelum jam 6 pagi untuk urusan pendaftaran. Dalam kegelapan awal pagi itu, penulis mengambil Lebuhraya NKVE dan dari situ penulis keluar melalui tol Bukit Jelutong, Shah Alam.

Ketika semakin menghampiri susur keluar ke Tol Bukit Jelutong, penulis dapat melihat dengan jelas pada papan tanda tertulis tanda arah SHAH ALAM, TUDM dan KLANG. Dan sebaik sahaja membayar tol dan meneruskan perjalanan, penulis melihat pula tanda arah yang tertulis TTDI JAYA, SHAH ALAM, PETALING JAYA dan TUDM.

Penulis berasa lega. Bukannya apa, penulis tidak mahu tersesat atau tersalah masuk susur keluar yang akan melambatkan pergerakan penulis ke Pangkalan TUDM Subang di pagi-pagi buta itu. Penulis terus menumpukan perhatian ke arah tanda arah yang tertulis TUDM.

Dari situ terdapat satu lagi tanda arah TUDM yang telah memandu penulis menuju masuk ke Persiaran Astaka. Persiaran Astaka ini yang merupakan laluan utama di kawasan perindustrian Bukit Jelutong agak panjang.

Malangnya sebaik sahaja penulis memasuki persiaran tersebut, papan tanda yang sepatutnya menunjukkan tanda arah TUDM sudah tiada lagi. Di pagi yang hening dan sunyi itu, penulis tergapai-gapai untuk mencari di manakah laluan seterusnya untuk menuju ke Pangkalan TUDM Subang.

Rasa takut pun ada rasa resah pun ada. Maklum sajalah, jalan sunyi tanpa kereta dan kita sedang tercari-cari arah tuju tanpa ada siapa yang dapat membantu.

Hanya berbekalkan naluri, penulis terus menyusuri Persiaran Astaka sehinggalah penulis sampai ke penghujung jalan berkenaan yang bersimpang empat.

Penulis mengharapkan di simpang empat tersebut papan tanda yang menunjukkan arah menuju ke TUDM akan muncul kembali.

Malangnya, papan tanda yang diharap-harapkan itu tidak ada.

Jadi jika para pembaca berada di tempat penulis, ke manakah yang anda akan tuju? Jawapannya, sudah tentulah tidak pasti! Penulis memperjudikan nasib dengan mengambil simpang kiri. Selepas memandu kurang lebih 400 meter, penulis telah keluar balik ke lebuh raya.

Berbekalkan naluri

Sekali lagi, berbekalkan naluri, penulis memperjudikan nasib dengan terus memandu ke hadapan dengan harapan akan menemui jalan yang terdapat tanda arah TUDM SUBANG sekali lagi. Nasib baik, penulis telah temui semula simpang masuk ke Persiaran Astaka dan ini sekali lagi telah membawa penulis ke simpang empat tadi. Kali ini penulis ikut laluan kanan pula.

Selepas beberapa ratus meter ke hadapan, akhirnya barulah penulis temui kembali dengan papan tanda arah yang tertulis PANGKALAN TUDM SUBANG. Pelik sungguh akan apa yang telah penulis lalui ini. Patutnya papan tanda arah itu diletakkan di simpang empat Persiaran Astaka tadi bukannya jauh ke dalam selepas simpang empat itu.

Jadi penulis dapati, cara pihak berkuasa tempatan atau sesiapa sahaja yang bertanggungjawab memasang papan tanda arah tidak begitu sensitif terhadap keperluan meletakkan tanda arah di tempat yang sepatutnya. Penulis tidak pasti apakah mereka sedar akan keadaan ini dan cuba membetulkannya semula. Jika tidak sedar, maka betulkanlah semula.

Dan beberapa hari yang lalu, ketika hendak menghadiri majlis rumah terbuka Felda Global di Jalan Semarak, penulis sekali lagi berhadapan dengan masalah yang sama. Penulis telah dimaklumkan dari Lebuh Raya DUKE, penulis akan nampak papan tanda arah susur keluar ke Jalan Semarak.

Sekali lagi, laluan ini tidak pernah penulis lalui. Pada mulanya memang terdapat papan tanda arah susur keluar dari DUKE yang tertulis JALAN SEMARAK. Tetapi malangnya sebaik sahaja penulis keluar dari DUKE, penulis dapati, penulis bukannya berada di Jalan Semarak sebaliknya penulis berada di laluan menuju ke arah Air Panas Setapak. Laluan selepas susur keluar dari Lebuhraya DUKE tidak sama sekali terus menunjukkan tanda arah ke Jalan Semarak. Malah tidak ada satu pun papan tanda yang menunjukkan ke JALAN SEMARAK. Dalam erti kata yang lain, ‘pandai-pandai engkau sendirilah macamana nak cari arah ke Jalan Semarak.

Penulis percaya dan yakin bukan penulis sahaja yang sakit hati, rasa marah dan geram dengan kedua-dua insiden ini, tetapi begitu juga dengan ramai yang lain.

Ia mencerminkan mentaliti mereka yang bertanggungjawab ke atas pemasangan papan tanda dan arah jalan yang beranggapan semua pengguna lebuh raya dan jalan raya tahu arah tuju mereka. Yang pasti, tidak ada kordinasi di antara pihak yang berkuasa mentadbir lebuh raya dengan pihak yang berkuasa ke atas jalan dan laluan biasa.

Jika inilah mentaliti mereka, apa gunanya meletakkan papan tanda dan tanda arah kalau ia tidak sedikit pun membantu orang ramai mencari jalan dan arah tujuan mereka.

Peranan papan tanda dan tanda arah jalan ialah untuk membantu pengguna mencari arah destinasi mereka. Ini kerana bukan semua orang tahu tempat yang mereka tujui.

Jika kita yang menetap di Kuala Lumpur tidak tahu atau mahir dengan semua tempat di kawasan kita sendiri apatah lagi orang luar yang pertama kali datang ke sini. Satu lagi yang penulis perhatikan ialah kecenderungan pihak berkuasa lebuh raya atau jalan raya meletakkan tanda arah di belakang atau selepas simpang atau susur keluar bukan di hadapan.

Apa gunanya papan tanda arah itu semua apabila pengguna sudah tersalah ambil laluan atau apabila berada berhampiran susur keluar, kemudian baru terpaksa membuat keputusan yang mana satu arah yang harus ditujui. Ini hanya akan membawa kepada malapetaka kemalangan yang tidak sepatutnya berlaku.

Semuanya kerana gara-gara papan tanda arah kita yang tidak tentu arah!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PAS Tak Akan Sokong Usaha Tukar Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Artikel Lain