suria

Penjara Tiga Tahun Balasan Sebabkan Kematian Anak Teman Wanita

AMPANG: Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, memerintahkan seorang pekerja pembinaan menjalani hukuman penjara selama tiga tahun selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian anak teman wanitanya yang berusia setahun tujuh bulan yang berpunca daripada kecuaian.

Hakim Manira Mohd Nor pada penghakimannya juga memerintahkan supaya hukuman terhadap Hooi Wai Chor, 35, bermula daripada tarikh dia ditangkap, iaitu 21 April lalu.

Hooi didakwa menyebabkan kematian Low Hong Jun pada antara pukul 2 pagi dan 12 tengah hari, hari yang sama di hadapan rumahnya di nombor 4, Jalan 11, Taman Sri Watan, di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu apabila dengan cuai telah meninggalkan bayi malang tersebut di dalam kereta Proton Satria selama beberapa jam menyebabkan mangsa mengalami kesan melecur dan melecet pada tubuhnya.

Bagi kesalahan itu, Hooi didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah meninggalkan bayi lelaki tersebut di dalam kereta yang berkunci selepas pulang daripada bersiar-siar pada hari kejadian.

Dia kemudiannya segera membawa mangsa ke hospital selepas menyedari mangsa tidak sedarkan diri apabila menjengah ke keretanya pada keesokan harinya.

Pada rayuan untuk meringankan hukuman, peguam Mary Song memohon mahkamah hanya mengenakan hukuman denda kepada tertuduh.

Katanya, tertuduh telah menunjukkan sikap sebagai seorang yang penyayang kepada mangsa apabila membawanya bersiar-siar dan membelikan susu memandangkan ibu bayi tersebut tidak bekerja.

Timbalan Pendakwa Raya Zuraini Ab Hamid bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat terhadap tertuduh yang telah menyebabkan seorang bayi yang tidak berdosa meninggal dunia akibat kecuaiannya.

"Tertuduh membiarkan bayi menanggung azab apabila membiarkan dia di dalam kereta dalam keadaan lemas dan panas.

"Bayi tersebut dijumpai dalam keadaan mulut berbuih dan tidak bernyawa. Bagaimana keadaan si mati ketika bertarung nyawa di dalam kereta sepanjang tempoh terbabit?," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain