Kerajaan Diminta Kaji Semula Penggunaan Tayar Toreh Terpakai - Semasa | mStar

Kerajaan Diminta Kaji Semula Penggunaan Tayar Toreh Terpakai

KUALA LIPIS: Kerajaan diminta mengkaji semula penggunaan tayar toreh dan tayar terpakai musim sejuk dari negara luar, yang didakwa menjadi satu daripada punca peningkatan nahas jalan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Pengangkutan dan Pertumbuhan Pahang Datuk Ir Mohd Soffi Abdul Razak berkata penggunaan tayar toreh lebih berbahaya berbanding tayar celup.

Beliau berkata tayar toreh semakin mendapat tempat kerana harganya lebih murah berbanding tayar baru ekoran peningkatan harga getah di pasaran dunia sejak beberapa tahun lepas.

"Saya ingin menasihatkan pemilik kenderaan supaya jangan menggunakan tayar jenis ini kerana terdedah kepada bahaya dan mudah meletup, kerana lapisan bahagian dalam tayar terlalu nipis apabila ditoreh untuk membuat bunga baru.

"Keadaan geometrik dan suhu jalan raya di negara kita yang panas akan memudahkan tayar toreh mudah meletup jika dipandu melebihi had laju," katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta di kawasan Rehat dan Rawat dekat sini, Ahad.

Mohd Soffi, yang juga anggota DUN Benta berkata beliau meminta pengusaha kedai tayar menghentikan aktiviti menoreh tayar terpakai kerana ia membahayakan nyawa pengguna, pemandu dan penumpang.

Selain tayar toreh, beliau berkata populariti tayar terpakai musim sejuk turut menyumbang kepada berlakunya kemalangan. "Penggunaan tayar terpakai musim sejuk yang dibawa masuk dari negara Eropah, Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan kini juga semakin mendapat tempat pemilik kenderaan kerana harganya murah. "Tayar tersebut tidak sesuai dengan iklim panas dan permukaan jalan raya di negara kita, walaupun bunga tayar masih tebal kerana ia hanya digunakan dalam tempoh tiga atau empat bulan sahaja di negara berkenaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Kebakaran Di Sumatera Punca Jerebu Teruk

Artikel Berikut

Konsep Negara Kebajikan PAS Lain - Tuan Ibrahim

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain