Terengganu Sedia Hadapi Musim Tengkujuh November Ini - Semasa | mStar

Terengganu Sedia Hadapi Musim Tengkujuh November Ini

KUALA TERENGGANU: Terengganu menyediakan 112 pusat pengkalan hadapan dengan 347 pusat pemindahan yang boleh menampung sejumlah 51,745 mangsa pada satu-satu masa sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir menjelang ketibaan musim tengkujuh November ini.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri Mohd Tarmizi Dan berkata selain itu, semua jentera yang berkaitan dengan bencana alam itu diarahkan meningkatkan lagi peranan dan fungsi di peringkat akar umbi.

"Jawatankuasa pengurusan dan bantuan bencana negeri Terengganu telah mengadakan mesyuarat bulan lalu bagi membincangkan langkah-langkah dan juga persediaan untuk menghadapi bencana alam itu," katanya kepada pemberita pada majlis Hari Raya Majlis Keselamatan Negara di sini Ahad.

Beliau berkata daerah Hulu Terengganu menyediakan paling banyak pengkalan hadapan iaitu 32, diikuti daerah Besut (26), Kemaman dan Setiu masing-masing (15), Marang (13), Dungun (9) dan Kuala Terengganu (2).

Mohd Tarmizi berkata sebuah depo simpanan keperluan juga ditempatkan di Pulau Kerengga, Marang bagi memastikan kelancaran pengagihan bantuan pada musim tengkujuh.

Beliau berkata kerajaan negeri mewujudkan laman web bagi memudahkan orang ramai mengetahui keadaan banjir iaitu www.etindakan.terengganu.gov.my. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain