suria

Mat Sabu Terima SMS Ugutan, Mahu Saman Utusan

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mendakwa beliau telah menerima pesanan khidmat ringkas (SMS) berunsur ugutan daripada individu yang tidak dikenali ekoran kenyataannya berhubung isu tokoh kemerdekaan Bukit Kepong baru-baru ini.

Beliau berkata, SMS ugutan yang diterima itu turut mengancam keselamatan diri dan keluarganya apabila isu tersebut menjadi topik hangat di akhbar-akhbar tempatan sejak dua minggu yang lalu.

Antara tulisan SMS yang diterimanya berbunyi: “Awak memang patut bertaubat,awak pembohong mulut celupar. Jangan sampai saya simbah asid pada isteri dan anak-anak. Kalau tak mahu jadi batalkan debat.”

Ditanya sama ada beliau sudah membuat laporan polis berhubung SMS ugutan yang diterimanya itu, Mohamad berkata beliau belum bercadang untuk berbuat demikian.

“Setakat ini saya belum lagi buat laporan polis, saya akan berbincang dengan peguam saya untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini, Khamis.

Menurut Mohamad Sabu, SMS ugutan itu diterima daripada nombor yang sama sejak seminggu yang lalu," katanya.

Isu Bukit Kepong mula panas apabila Mohamad dalam satu ceramah di Tasek Gelugor Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu dilaporkan berkata Mohamad Indera yang terlibat menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 ialah hero sebenar yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Ekoran kenyataan kontroversi itu, lebih 500 laporan polis telah dibuat terhadap Timbalan Presiden PAS itu sebagai mengecam tindakannya itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memberi tempoh 24 jam kepada akhbar Utusan Malaysia untuk memohon maaf kerana mendakwa memutar belitkan ucapannya dengan menyiarkan artikel bertajuk ‘Mat Sabu Hina Pejuang’ dalam laporan muka depannya pada 27 Ogos lalu.

Beliau yang diwakili oleh peguam PAS, Hanipa Maidin berkata, permohonan maaf itu perlu disiarkan dalam akhbar tersebut dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan notis saman akan dikemukakan terhadap Utusan Malaysia.

Menurut Hanipa, notis itu akan dihantar hari ini (Khamis) kepada Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak bagi menggesa akhbar itu menarik semula laporan bertarikh 27 Ogos yang dianggap fitnah kepada Mohamad.

Malah permohonan maaf juga perlu dikemukakan oleh Utusan dalam tempoh 24 jam.

"Jika gagal berbuat demikian, kita akan failkan saman pada minggu depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Jumlah saman masih belum ditetapkan lagi malah kes bagi Utusan ini istimewa memandangkan kebiasaanya notis dalam 14 hari. Tapi mereka dalam 24 jam," kata Hanipa.

Artikel Sebelum

Artikel Lain