suria

Sultan Selangor Dikunjungi Komander Tentera Laut AS

KLANG: Komander Kumpulan Serangan Kapal Pengangkut Tiga Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), Rear Admiral Craig Faller pada Selasa menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di sini.

Baginda selaku Kapten Yang DiPertua Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) telah berkenan mendengar perkembangan terkini tentera laut AS menerusi perbincangan bersama Faller.

Faller tiba di Malaysia sempena kunjungan rasmi empat buah kapal perang Amerika iaitu kapal pengangkut pesawat USS John C.Stennis, dan tiga kapal perang, USS Mobile Bay, USS Dewey DAN USS Wayne E. Meyer, Ahad lepas dan mereka dijangka berada di Pelabuhan Klang sehingga Sabtu ini.

Hadir sama ialah Asisten Ketua Staf Rancang dan Operasi Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Datuk Musa Omar, Pegawai Memerintah USS John C.Stennis, Kapten Ronald Reis, Pegawai Memerintah USS Wayne E. Meyer, Komander Leo Albea dan Pegawai Memerintah USS Dewey, Komander John Howard.

Pelbagai acara disusun bagi mengeratkan hubungan antara angkatan laut kedua-dua negara termasuk lawatan ke Pusat Hidrografi Nasional di Pulau Indah, perbincangan dua hala, perlawanan persahabatan dan eskesais bersama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain