suria

Barang Kemas Bernilai RM200,000 Dilarikan Perompak Dalam Tempoh Tiga Minit

Anggota polis forensik memeriksa gelas pameran barang kemas yang dipecahkan dalam kejadian rompakan oleh empat lelaki di Jalan Stesen, pukul 2.20 petang Jumaat. - Foto BERNAMA
Anggota polis forensik memeriksa gelas pameran barang kemas yang dipecahkan dalam kejadian rompakan oleh empat lelaki di Jalan Stesen, pukul 2.20 petang Jumaat. - Foto BERNAMA
Anggota polis forensik memeriksa gelas pameran barang kemas yang dipecahkan dalam kejadian rompakan oleh empat lelaki di Jalan Stesen, pukul 2.20 petang Jumaat. - Foto BERNAMA

KLANG: Empat lelaki bersenjatakan kapak, parang dan tukul hanya mengambil masa kira-kira tiga minit untuk melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM200,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Stesen di sini Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Mat Yusop berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, empat suspek yang memakai topi keledar meluru masuk ke dalam kedai emas itu manakala empat lagi yang turut memakai topi keledar menunggu dengan empat buah motosikal di luar kedai emas berkenaan.

Empat perompak yang memasuki kedai emas itu terus bertindak memecahkan cermin pameran yang menempatkan barang kemas sebelum melarikannya, katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

"Tiada kecederaan dilaporkan dan semasa kejadian tiada pelanggan berada di kedai berkenaan sementara terdapat tujuh pekerja yang sedang bertugas," katanya.

Beliau berkata ini merupakan kali pertama kedai emas yang dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) itu dirompak dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan kesemua suspek.

Mohamad berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu salah seorang peniaga di premis berdekatan yang enggan dikenali berkata beliau sedang berada di dalam kedainya apabila terdengar bunyi alat penggera dari kedai emas berkenaan.

"Saya kemudian ternampak dua lelaki memakai topi keledar dan bersenjatakan kapak dan parang berlari keluar dari kedai emas itu sambil memegang barang kemas dengan tangan mereka.

"Mereka kemudian menaiki motosikal kapcai dan terus bergerak menghala ke arah Jalan Kampung Jawa," katanya.

Peniaga itu berkata beliau turut menjumpai tiga keping emas di atas jalan dipercayai tercicir daripada perompak terbabit dan meminta pekerja kedai emas berkenaan mengambil semula emas tersebut.

Seorang lagi peniaga berkata beliau terus berlari ke dalam sebuah kedai bersebelahan kedai emas berkenaan apabila terdengar bunyi alat penggera dan kemudian ternampak dua lelaki memakai topi keledar berlari keluar dari kedai emas itu sambil memegang sejumlah barang kemas di dalam tangan mereka. - BERNAMA

Artikel Lain