suria

Kerajaan Yakin CEO MRT Co Mampu Laksanakan Tugas Diamanahkan - Husni

IPOH: Kerajaan yakin MRT Co yang akan dipimpin Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azhar Abdul Hamid mampu melaksanakan tugas membina infrastruktur berskala besar berdasarkan kepakaran dan kecekapan pengurusannya.

Menteri Kewangan Dua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata melalui MRT Co kerajaan dapat memfokuskan projek infrastruktur berskala besar dan tersusun di sekitar bandar besar terutamanya di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang.

"Kerajaan berharap projek yang dikendalikan MRT dapat meningkatkan lagi keadaan infrastruktur di negara ini sekaligus memberi keselesaan kepada rakyat dan membantu mengembangkan sektor lain," katanya kepada pemberita sempena Hari Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Jalan Sukun, Sungai Rokam dekat sini, Khamis.

Azhar dijangka melaporkan diri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan Dua minggu depan bagi memulakan tugas barunya di MRT Co.

Beliau adalah bekas Pengarah Urusan Sime Darby yang dikatakan mempunyai rekod cemerlang ketika memimpin syarikat perladangan itu.

Ahmad Husni berkata pelantikan Azhar amat sesuai berdasarkan pengalamannya mencemerlangkan prestasi perniagaan Sime darby bagi tempoh tahun 2006 hingga 2010.

MRT Co, syarikat kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan, akan menjadi pemilik projek dan aset kepada projek MY Rapid Transit Lembah Klang (KVMRT), berkuatkuasa 1 September. - BERNAMA

Artikel Lain