suria

Waspada Pihak Menyamar Sebagai Peguam

PUTRAJAYA: Orang awam dinasihatkan supaya berwaspada dengan kewujudan pihak ketiga yang menyamar sebagai peguam di mahkamah sekitar Selangor.

Pegawai Khas kepada Ketua Hakim Negara, Shazali Hidayat Shariff berkata mereka ini tidak mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai peguam tetapi menyamar sebagai peguam untuk mendapatkan pelanggan kononnya bagi membantu mereka menyelesaikan sesuatu kes mahkamah.

Beliau berkata, pihak ketiga tersebut didapati berada di premis mahkamah pada sebelah pagi dan antara tempat mereka mencari pelanggan ialah Mahkamah Daerah Klang, Ampang, Selayang dan Petaling.

"Orang awam diminta melaporkan kepada polis atau mahkamah sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melakukan perkara sedemikian. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan ini," katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Ia turut merujuk kepada satu kes penipuan yang melibatkan keluarga tertuduh yang telah ditipu sebanyak RM36,000 oleh seorang yang menyamar sebagai peguam di Mahkamah Klang.

Perkara ini telah dimaklumkan oleh Jawatankuasa Peguam Selangor yang mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Hakim Negara hari ini, kata Shazali.

- BERNAMA

Artikel Lain