suria

Dipenjara Sehari Kerana Beri Suapan

KUANTAN: Seorang eksekutif operasi sebuah syarikat pengeluaran pasir dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi suapan kepada seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 30 Julai lalu.

Tertuduh Idris Mazlan Ishak, 53, mengaku bersalah di hadapan Hakim Fathiyah Idris atas kesalahan memberi suapan RM2,000 kepada Leftenan Muda Abdul Syukor Hamzah dari pejabat APMM Kuantan.

Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan lanjut serta melepaskan bot tunda dan tongkang pasir milik tertuduh yang ditahan oleh APMM pada tarikh tersebut.

Idris didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah kereta di kawasan parkir di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Pahang, Pekan.

Sementara itu dalam kes berasingan di hadapan hakim yang sama, seorang peniaga dihukum penjara sehari dan denda RM20,000 kerana memberi suapan kepada seorang pegawai Pejabat Pertanian Rompin pada 14 Julai lalu.

Tertuduh, Tam Kam Moon, 44, mengaku bersalah memberi suapan RM4,000 kepada Shaharuddin Ramli sebagai dorongan membantu mempercepatkan proses kelulusan permohonan tenaga buruh asing.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu bagi projek tanaman tembikai tertuduh di Ladang Espek, Risda Ulu Keratong 3, Muadzam Shah, Rompin, pada tarikh tersebut.

Pendakwaan bagi dua kes tersebut itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shahbuddin dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain