suria

Tiga Kali Diserbu, Premis Judi Berkomputer Tidak Serik

BALIK PULAU: Walaupun sudah tiga kali diserbu sejak bulan lepas, sebuah premis di Taman Seri Indah di sini masih tidak serik menjalankan kegiatan judi berkomputer.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Lai Far Him berkata dalam serbuan kira-kira pukul 12 malam tadi, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang bekerja sebagai penjaga pusat berkenaan.

"Ketika serbuan dilakukan terdapat pelanggan di premis berkenaan yang sedang leka bermain judi namun mereka berjaya melarikan diri setelah menyedari serbuan polis," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau berkata hasil serbuan, polis berjaya merampas 23 buah set komputer dan enam modem yang digunakan untuk kegiatan itu yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM30,000.

Lai berkata dipercayai premis berkenaan telah beroperasi sejak setahun yang lepas dan hanya dibuka pada waktu tengah malam untuk mengelak dikesan polis.

Beliau berkata premis berkenaan tidak mempunyai papan tanda nama kedai dan hanya meletakkan kertas bertulis Cyber Cafe bagi mengaburkan mata penguat kuasa.

Katanya penjaga berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk siasatan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 bagi setiap unit mesin atau penjara sehingga lima tahun.

Beliau berkata sehingga kini tahun ini, polis telah menyerbu sebanyak 44 premis di sekitar kawasan Barat Daya dan merampas sebanyak 631 set mesin perjudian. - BERNAMA

Artikel Lain