suria

Petrol, Diesel Masih Jadi Bahan Penyeludupan Utama Di Sempadan

ALOR SETAR: Petrol dan diesel masih menjadi bahan penyeludupan utama di sempadan Malaysia-Thailand berikutan harga bahan bakar itu di negara jiran hampir sekali ganda lebih tinggi dari Malaysia.

Ketua Pengarah Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) merangkap Setiausaha Bahagian Kepolisian dan Keselamatan Sempadan, Kementerian Dalam Negeri Datuk Ab Rahim Ismail berkata penyeludupan minyak itu dibuat melalui kereta persendirian yang diubahsuai.

"Hasil beberapa tangkapan, kami dapati tangki kereta yang diubahsuai itu mengandungi lebih 200 liter minyak," katanya kepada Bernama di sini setelah menamatkan lawatan dua hari ke UPP Perlis dan Kedah, petang Selasa.

Beliau berkata hasil gerakan bersepadu dan kawalan ketat pihak berkuasa, aktiviti penyeludupan secara besar-besaran tidak lagi berlaku di kawasan sempadan Kedah, Perlis, Kelantan dan Perak.

"Selain penyeludupan barang, UPP turut memberi tumpuan dalam membanteras kemasukan pendatang tanpa izin, dadah dan pemerdagangan orang oleh sindiket tempat dan antarabangsa yang menggunakan lorong-lorong tikus di sempadan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain