suria

Miliki Syabu, Benjy Didenda RM5,000

KUALA LUMPUR: Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy pada Rabu, diarahkan untuk membayar denda sebanyak RM5,000 selepas didapati bersalah memiliki 0.24 gram syabu, tahun lalu.

Majistret Hafizza Sauni juga memerintahkan agar Benjy yang merupakan anak lelaki tunggal seniwati, Azean Irdawaty dihukum penjara selama enam bulan, jika gagal menjelaskan denda terbabit.

Pada penghakimannya, Hafizza berkata, setelah meneliti keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak, beliau berpuas hati bahawa pihak pendakwaan yang diwakii Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abd Halim berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

Noor Mawarni mengemukakan 14 saksi pendakwaan sementara Benjy yang diwakili oleh peguam Amer Hamzah Arshad memanggil bekas pembantu anak guamnya, Afifi Hamid untuk menyokong keterangan pembelaan pelakon itu.

Benjy didakwa memiliki dadah itu pada pukul 4 petang, 11 Mac lalu di sebuah rumah bernombor A-6-5, Menara Duta 2, Jalan 1/38B, Persimpangan Jalan Segambut, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Pada prosiding itu, Amer Hamzah juga merujuk kepada surat yang ditulis sendiri oleh Benjy dalam Bahasa Inggeris merayu agar dia tidak lagi ditahan di penjara yang didakwanya telah menyebabkan kesihatannya merosot.

Pelakon drama Kerana Cintamu Saerah itu sebelum ini pernah ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor di bawah Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 sehingga dibebaskan pada Mac lalu.

"Semasa saya di Pusat Pemulihan Akhlak Muar, keadaan dalam sel, lantai yang sejuk, habuk dan air telah menyebabkan saya mendapat asma,” katanya dan menambah dikejarkan ke Hospital Muar sebanyak lima kali mendapatkan rawatan alat bantuan pernafasan (ventilator).

Benjy, 32, yang hadir di mahkamah bersama adiknya juga mendakwa, sehingga ke satu tahap, dia mendapat penyakit radang paru-paru dan pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua minggu selepas dibebaskan.

Turut dilampirkan dalam surat itu adalah bil daripada Pusat Pakar Damansara berjumlah RM65,000 yang dikatakan masih belum selesai dibayar.

Selain itu, Benjy juga memohon mahkamah mengambil kira anaknya yang bakal menginjak usia lima tahun pada September ini memerlukan kehadirannya dan kasih sayang seorang ayah, setelah hampir setahun tidak bersamanya.

“Buat masa ini, anak saya tinggal bersama isteri yang merupakan seorang mualaf yang menetap bersama orang tuanya yang bukan beragama Islam. Saya bimbang dengan pegangan agamanya,” kata Benjy dalam surat tersebut.

Dia juga memohon mahkamah mengambil kira faktor bahawa penahanannya sebelum ini telah memburukkan keadaan kesihatan ibunya yang menghidap kanser peringkat keempat.

Amer Hamzah seterusnya merujuk kepada surat daripada Azean Irdawaty yang memaklumkan bahawa Benjy dijadualkan menjalani pembedahan major di Hospital Putrajaya, dekat sini pada esok (Khamis) dan perlu menjalani rawatan susulan selama beberapa bulan.

Surat daripada Dr Balwinder Singh Mann bertarikh 15 Ogos lalu pula menyatakan, pembedahan itu adalah untuk penyakit ‘Bilateral Nasal Polyposis & Pansinusitis’.

Amer juga memberitahu, dadah yang terlibat dalam kes itu hanyalah dalam jumlah yang kecil dan syabu juga dikaitkan sebagai dadah hiburan.

Bagaimanapun, Noor Mawarni memohon agar hukuman setimpal dapat diberikan terhadap Benjy sebagai pengajaran kepada dirinya dan masyarakat untuk tidak melibatkan diri dalam gejala dadah.

“Usaha kerajaan untuk membanteras najis dadah tidak akan bermakna sekiranya pesalah dadah tidak dikenakan hukuman,” katanya.

Sementara itu, semasa ditemui, Amer Hamzah memberitahu, anak guamnya akan menjelaskan denda tersebut pada hari ini.

Artikel Lain